Isnin, 14 Oktober 2013

APA KATA AHMAD AL HASSAN (A.S) KETIKA DITANYA BERKENAAN SAHABAT RASULULLAH?

APA KATA AHMAD AL HASSAN (A.S) KETIKA DITANYA BERKENAAN SAHABAT RASULULLAH?

Insya Allah, yang kamu maksudkan dengan soalan kamu adalah mereka yang beriman dengan Nabi Muhammad (sawas), membantunya dan membantu agama Allah dengan segala apa yang dikurniakan oleh Tuhan mereka, sehingga mereka disudahi dengan kesudahan yang baik dan meninggal dunia atas mandat (wilayah) Wali Allah serta Hujah Allah dan Khalifah Allah pada zaman mereka. Tidak diragu-ragukan lagi bahawa mereka adalah orang-orang yang terbaik di zaman mereka. Tetapi jika kamu maksudkan semua yang beriman dengan Nabi Muhammad (sawas) dalam tempoh masa tersebut, maka ketahuilah bahawa ada di kalangan orang-orang yang beriman kepada Nabi Muhammad (sawas) yang murtad pada masa hidup baginda dan sebahagian mereka pula murtad selepas kewafatannya. Sebahagian mereka menzahirkan kemurtadan mereka dan sebahagian mereka pula menyembunyikan ketidak imanan mereka. Di dalam Al-Quran menjelaskan tingkahlaku orang-orang munafik, begitu juga di dalam kitab-kitab sirah di sisi Sunni dan Syiah yang menyebut golongan yang murtad.

Semoga Allah mengurniakan taufik ke atas kamu, ketahuilah bahawa dunia ini keseluruhannya adalah kejahilan melainkan tempat ilmu. Ilmu itu keseluruhannya adalah hujah melainkan apa yang diamalkannya. Amalan itu keseluruhannya adalah menunjuk-nunjuk (riya') melainkan apa yang dilakukan dengan ikhlas. Ikhlas itu dalam keadaan yang amat getir sehinggalah seseorang itu melihat apakah kesudahan baginya.

Dituntut ke atas kamu, sekiranya kamu ingin mengenal kebenaran supaya mematuhi undang-undang Allah, yang diasaskanNYA sejak hari pertama dicipta Adam (a.s) sebagai Khalifah Allah di muka bumiNYA:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi" (Al Baqarah: 30).

Oleh itu, berimanlah dengan Khalifah-Khalifah Allah dan bantulah mereka dengan segala apa yang dikurniakan oleh Tuhan kamu. Adapun selain mereka (Khalifah-Khalifah Allah) ini, maka kamu tidak dipertanggungjawabkan untuk beriman dengan mereka, samada mereka sahabat Nabi Muhammad (sawas) ataupun selain mereka. Allah tidak akan menanyakan kamu melainkan keimanan kepada Khalifah-KhalifahNYA di muka bumiNYA. Sekiranya kamu berkesudahan dengan baik dan beriman dengan Khalifah-Khalifah Allah di muka bumiNYA pada zaman kamu, maka kamu telah terselamat. Jika tidak maka nerakalah balasannya, semoga Allah melindungi kamu daripadanya.

Undang-undang keimanan ini adalah sepertimana yang telah diperturunkan Allah Taala, adakah kamu dapati padanya keimanan kepada sahabat rasul-rasul iaitu Khalifah Allah di muka bumiNYA, firman Allah Taala:

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ كُلٌّ آمَنَ بِاللّهِ وَمَلآئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لاَ نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ وَقَالُواْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ

Rasul telah beriman kepada Al Qur’an yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. [Mereka mengatakan]: "Kami tidak membeda-bedakan antara seseorangpun [dengan yang lain] dari rasul rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami ta’at". [Mereka berdo’a]: "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali". (Al Baqarah: 285).

Diwajibkan ke atas kamu untuk beriman kepada penutup segala rasul daripada Allah iaitu Muhammad. Para Imam adalah Khalifah-Khalifah Allah di muka bumiNYA, yang mana mereka adalah utusan Muhammad (sawas) kepada umat manusia. Mereka adalah 12 Imam dan 12 Mahdi sepertimana dalam wasiat Nabi kamu Muhammad (sawas) yang dipindahkan oleh Sheikh Tusi (semoga Allah merahmatinya), dan tiada seorang pun memindahkan wasiat yang serupa di malam kewafatan baginda melainkan dia. Sedangkan Al Quran mewajibkan wasiat di saat kedatangan maut:

كُتِبَ عَلَيۡكُمۡ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ إِن تَرَكَ خَيۡرًا ٱلۡوَصِيَّةُ لِلۡوَٲلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ‌ۖ حَقًّا عَلَى ٱلۡمُتَّقِينَ

Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan [tanda-tanda] maut, jika ia meninggalkan kebaikan, berwasiat untuk ibu-bapa dan karib kerabatnya secara ma’ruf, [ini adalah] kewajiban atas orang-orang yang bertakwa. (Al Baqarah: 180)

Oleh itu, kamu tidak dapat melarikan diri daripada menerima wasiat tunggal ini dan barangsiapa yang menolaknya samada Sunni atau Syiah, maka dia menuduh Nabi Muhammad (sawas) bertentangan dengan Al Quran. Dijauhkan baginda daripada bertentangan dengan kata-kata Allah SWT.

Ahmad Al Hassan
Kitab Al Jawab Al Munir, jilid keempat, ms 23.


Tiada ulasan: