Rabu, 27 Januari 2016

Dengan Apa Ahmad Al-Hassan Berhujah?

Dengan Apa Ahmad Al-Hassan Berhujah?


Syed Ahmad Al-Hasan berhujah sama seperti hujah para khalifah Allah sebelumnya, ketika mereka diutuskan kepada umat-umat mereka. Sekiranya, ada penentuan nas bagi setiap nama khalifah Allah, ilmunya serta seruannya kepada ketuanan Allah, yang dengannya dikenali para khalifah Allah terdahulu. Maka pembuktian itu jugalah yang beliau kemukakan pada hari ini.

Wasiat Rasulullah (S) di malam kewafatannya menyebutkan nama-nama para khalifah Allah selepasnya, di dalamnya terdapat seorang wasi, Ahmad. Berikut nasnya:

Diriwayatkan daripada Abi Abdillah Jaafar bin Muhammad, daripada bapanya Al Baqir, daripada bapanya Ali Zainal Abidin, daripada bapanya Hussein Al Syahid, daripada bapanya Amirul Mukminin Alaihis salam telah berkata: Rasulullah (S) bersabda kepada Ali as dimalam sebelum kewafatan baginda:

“Wahai Abul Hassan (Ali as) bawakan lembaran kertas dan dakwat. Maka Rasulullah (S) telah menyebutkan wasiatnya untuk dicatatkan sehinggalah ia sampai kepada noktah berikut, baginda (S) bersabda: Wahai Ali sesungguhnya akan ada selepasku duabelas orang Imam dan selepas mereka duabelas orang Mahdi. Engkau wahai Ali adalah yang pertama daripada duabelas orang Imam tersebut. Allah menamakan engkau di langitnya; Ali Al Murtadha, Amirul Mukminin, Siddiq Al Akbar, Faruq Al A’zham, Al Makmun, dan Al Mahdi, tiada siapapun dibenarkan memakai nama-nama ini. Wahai Ali, engkau adalah pemegang wasiatku ke atas Ahlulbaitku ketika mereka masih hidup mahupun setelah mereka mati, dan ke atas isteri-isteriku: barangsiapa yang engkau kekalkan dia, maka dia akan bertemu denganku besok, barangsiapa yang engkau ceraikan dia, maka aku berlepas diri daripadanya, dan dia takkan dapat melihatku dan aku tidak melihatnya pada hari kiamat. Engkau adalah khalifahku ke atas umatku selepasku, apabila maut menghampirimu, maka hendaklah diserahkannya (khilafah) kepada anakku Hassan Al-Birr Al-Wusul. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anakku Hussein Al-Syahid Al-Zakiy Al-Maqtul. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya penghulu segala abid Ali Zu Al-Safanat. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Muhammad Al-Baqir. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkan kepada anaknya Ja’afar Al-Sadiq. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Musa Al-Kadzim. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Ali Al-Ridha. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Muhammad Al-Tsiqah Al-Taqiy. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Ali Al-Nasih. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Hassan Al-Fadhil. Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkannya kepada anaknya Muhammad yang terpelihara daripada keluarga Muhammad. Maka itulah dua belas imam, dan akan datang selepasnya dua belas Mahdi.

Dan apabila maut menghampirinya, maka hendaklah diserahkan kepada anaknya iaitu Muqarrab yang pertama (sesetengah sumber menyebutkan Mahdi yang pertama). Baginya tiga nama : nama seperti namaku dan nama bapaku, iaitu Abdullah dan Ahmad. Dan namanya yang ketiga adalah Al Mahdi, dia adalah yang pertama beriman.” [53]

Wasiat suci tersebut adalah nas penentuan khalifah Allah dengan menyebutkan namanya dengan jelas, dan ini cukup kuat bagi menjadi hujah buat mengukuhkan lagi kebenaran pemiliknya. Sebagaimana firman Allah SWT tentang apa yang dibawa oleh nabi Isa as serta khabar gembira darinya dengan menyebutkan nama Rasulullah (S):

﴿وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ ۖ فَلَمَّا جَاءَهُم بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَـٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ﴾

“Dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad.” Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata, “Ini adalah sihir yang nyata.”[54]

Jika, wasiat adalah merupakan bukti ketuhanan, yang mana ia tidak akan dituntut oleh sesiapa melainkan pemiliknya atau ia bukan lagi menjadi bukti.

Wasiat ini hanya dapat dituntut oleh pemiliknya, kerana ia adalah tulisan yang memelihara umat daripada kesesatan, sebagaimana yang dijanjikan oleh Nabi (S) di dalam sabdanya:

“Ambilkan untukku selembar kertas dan pena, untuk aku tuliskan kepada kalian sebuah tulisan (apabila berpegang dengannya) yang kalian tidak akan tersesat selepasnya untuk selamanya.”

Sekiranya orang lain boleh mentuntut wasiat itu miliknya dan berhujjah kepada umat manusia berdasarkannya, bererti wasiat itu menyumbang kepada kesesatan mereka. Ini bertentangan dengan apa yang telah baginda (S) janjikan. Dijauhkan baginda daripada mengingkari janjinya.

Wasiat ini hanya dapat dituntut oleh pemiliknya, kerana Amirul Mu`minin as telah menyebutkannya dan mengkhususkannya buat mereka as, dengan berkata:

“Keluarga Muhammad (S) tidak dapat dibandingkan dengan seorangpun dari umat ini. Tidak dapat disamakan mereka dengan orang yang mendapatkan nikmat mereka selamanya. Mereka adalah tiang-tiang agama dan tiang yaqin; orang mulia bersandar kepada mereka. Keutamaan-keutamaan yang mereka miliki; adalah hak kepemimpinan, dan terdapat di sisi mereka wasiat dan warisan.”[55]

Imam Shadiq as berkata:

“Wahai Zat yang telah mengistimewakan kami dengan wasiat; yang telah mengurniakan kami dengan ilmu yang dahulu maupun yang akan datang; yang telah menjadikan hati manusia condong kepada kami; dan yang telah menjadikan kami pewaris para nabi.”[56]

Dengan demikian, tidak akan ada keutamaan-keutamaan mereka itu sekiranya selain mereka juga memilikinya.

Wasiat ini hanya dapat dituntut oleh pemiliknya, kerana Imam Baqir as telah menjaminnya sebagai penentu pemilik kebenaran, ketikamana beliau ditanya tentang cara untuk mengenal Pemegang Urusan:

“Dengan sifat ketenangan dan kewibawaan, dengan ilmu dan wasiat.” [57]

Wasiat ini hanya dapat dituntut oleh pemiliknya, kerana Imam Ridha as telah mengukuhkan kebenaran datuknya Muhammad (S) di hadapan pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani, dengan menyebutkan nas-nas yang menyebutkan nama baginda (S) di dalam kitab-kitab mereka. Lalu mereka beralasan tidak tahu, apakah samada Muhammad yang disebutkan di sisi kitab mereka itu benar-benar datuk beliau as atau tidak? Imam menjawab,

“Kalian telah berhujah dengan keraguan; apakah Allah telah mengutuskan sejak sebelum Adam atau kemudian darinya sehingga e hari ini, seorang nabi bernama Muhammad, lalu kalian mendapati di dalam kitab-kitab yang telah Dia turunkan kepada seluruh nabi selain Muhammad?” Lalu mereka menghindar diri daripada menjawabnya.[58]

Maka beliau as telah menjadikan ketiadaan tuntutan selain daripada pemilik sebenarnya dan gambaran yang disebutkan di dalam kitab-kitab mereka sebagai bukti bahawa Muhammadlah yang  dimaksudkan,  semata-mata kerana  dia seorang sahaja yang menjulangnya dan mengatakan dia adalah pemiliknya. Dengan kata lain, bahawa peruntukan nas ini hanya dapat diakui oleh si pemiliknya yang berhak sahaja. Demikian halnya, jawapan kami terhadap mereka yang meragukan Ahmad Al Hassan sekarang ini: (Tidak sampai kepada pengetahuan kami bahawa Ahmad Al-Hasan adalah Ahmad yang disebut dalam wasiat tersebut) huruf demi huruf. Jika mereka memilih untuk menolaknya, maka ketahuilah bahawa mere sedang menolak jawapan Imam Ridha as tersebut.

Wasiat ini hanya dapat dituntut oleh pemiliknya, kerana apabila seorang mukmin meneliti semula sejarah seruanseruan Ilahi, dari zaman Adam as hingga kini, akan mendapati bahawa tidak pernah ada pendusta yang berhujah namanya disebutkan di dalam wasiat khalifah Allah sebelumnya. Memang diakui terdapat sejumlah orang yang mengaku sebagai nabi dan imam seperti Musailamah, Sajah dan lainnya. Namun, tidak seorang pun dari mereka yang menjulang wasiat dan nas oleh khalifah Allah sebelumnya terhadap mereka, lalu berkata: “Inilah namaku yang disebutkan di dalamnya!”

Adakah ini masih lagi tidak dapat menenangkan hati kalian bahawa Ahmad Al-Hasan yang menjulang wasiat datuknya Al-Mustafa (S), di mana namanya disebutkan dengan terang di dalam wasiat tersebut, telah berhujah kepada kalian berdasarkan wasiat tersebut bagi membenarkan dakwaannya. Mustahil seseorang itu boleh membiarkan hatinya dipengaruhi oleh keraguan setelah kesemua ini dibentangkan di hadapan matanya?!! Tidakkah Imam Baqir as pernah menyampaikan kepada kalian tentang cara untuk mengenal pembawa panji hidayah itu, apabila beliau as mengatakan:

“Apa sahaja yang menyebabkan kamu berada dalam kekeliruan, maka janganlah kamu keliru atas janji Nabi Allah (S), panjinya dan senjatanya.”[59]

Seperkara lagi yang perlu dibuktikan bagi menanggapi keraguan mereka yang mengatakan bahawa Nabi (S) tidak meninggalkan sebarang wasiat. Maka, hendaklah mereka takut kepada Allah dan tidak menuduh baginda (S) wafat dalam keadaan melanggar arahan jelas (muhkam) dari Al Quran, yang menekankan penulisan wasiat di saat menghampiri kematian. Dengan kata lain, hendaklah mereka menjauhi daripada dosa dengan menghentikan tuduhan terhadap Rasulullah (S) bahawa baginda telah mensia-siakan umatnya, disebabkan baginda dihalang menuliskan wasiatnya yang dapat memelihara mereka daripada kesesatan. Tuduhan itu juga bertentangan dengan perintah baginda (S) yang banyak disebutkan di dalam hadis-hadis supaya umat muslimin menuliskan wasiat mereka.

Allah SWT berfirman:

﴿كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِن تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ﴾ 

“Diwajibkan atas kamu, apabila (tanda-tanda) kematian telah menghampiri salah seorang di antara kamu dan ia meninggalkan kebaikan, berwasiat untuk ibu bapak dan karib kerabatnya secara makruf, (ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa.” [60]

Diriwayatkan daripada Imam Musa Kazhim as, berkata:

“Aku berkata kepada Abu Abdillah (ayahku Imam Shadiq) as, “Bukankah Amirul Mu`minin yang menulis wasiat dan Rasulullah (S) memenjangkannya kepada beliau, juga kepada Jibril dan para malaikat muqarrabin?” Beliau diam lama, kemudian berkata, “Wahai Abul Hasan, ia adalah seperti apa yang kamu katakan. Tetapi ketika perintah turun kepada Rasulullah (S), turunlah wasiat dari sisi Allah berupa lembaran yang tertulis, yang dibawa oleh Jibril bersama para malaikat kepercayaan Allah SWT. Jibril berkata, “Hai Muhammad, perintahkan olehmu agar semua orang meninggalkan mu kecuali wasimu untuk menerima wasiat dari kami, dan engkau jadikan kami sebagai saksi bahawa engkau menyerahkan wasiat kepadanya –yakni Ali- sebagai penjaminnya, dan Fatimah berada di antara tirai dan pintu.” [61]

Riwayat-riwayat lain juga membuktikan penulisan wasiat, maka tiada lagi sesudah kebenaran melainkan kesesatan.

Wasiat ini sudah cukup untuk menjadi satu-satunya bukti bagi Syed Ahmad Al-Hasan di dalam penghujahannya kepada umat manusia, setelah kita mengetahui bahawa wasiat ini tidak akan dapat dituntut melainkan oleh pemiliknya yang sah. Malah, kenyataan ini semakin jelas setelah anda melihat beliau berhujjah dengan ilmu, jawapannya terhadap perkara-perkara maha hebat, menjelaskan ayat-ayat kesamaran (mutasyabihat) Al Quran, Taurat dan Injil, serta penjelasannya tentang halal haram dan akidah yang benar. Kalian boleh dapati semua ini di dalam kitab-kitab tulisan beliau yang mencecah bilangan empat puluh buah dalam berbagai sudut makrifat ketuhanan. Ianya dapat dirujuk dan dibaca oleh semua orang untuk mengetahui khazanah yang terkandung di dalamnya. Beliau juga mencabar para ilmuan agama untuk membantah walau satu masalah di dalam kitabnya, namun tidak ada respons dari mereka.

Beliau kemudiannya menjulang panji taatsetia kepada Allah (bai`ah lillah), seruannya kepada ketuanan Allah dan menolak ketuanan manusia (iaitu peraturan ketiga dalam mengenal para khalifah Allah). Kami tidak merasakan hal ini terlalu sukar untuk dibuktikan, setelah seluruh penghuni bumi ini mempercayai sistem buatan manusia dan pengiktirafan mereka terhadap pilihanraya serta demokrasi yang mereka angkat sebagai cara untuk memilih seorang pemerintah. Maka, tinggallah Ahmad Al-Hasan seorang sahaja di muka bumi ini yang menyeru kepada ketuanan Allah dan keimanan bahawa pemerintah atau penguasa yang diwajibkan patuh padanya, hanya boleh dilantik oleh Allah SWT tanpa sebarang campur tangan dari manusia selama-lamanya. Allah SWT berfirman:

﴿وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَخْتَارُ ۗ مَا كَانَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ ۚ﴾

“Dan Tuhan-mu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka.” [62]

Keunikan beliau ini adalah rahmat Allah bagi umat manusia, kerana ianya memudahkan lagi usaha menentukan pemilik kebenaran, kerana beliau adalah satu-satunya. Bahkan urusannya menjadi lebih terang daripada matahari di tengah hari yang terang benderang, bagi kaum yang berakal.

Inilah peraturan Allah dalam mengenalpasti para khalifahNya yang berhujjah berdasarkan peraturan ini kepada umat-umat mereka. Adakah kalian pernah melihat seruan Ahmad Al-Hasan menyeleweng daripada seruan para utusan Allah sebelumnya? Beliau telah datang kepada kalian, namanya Ahmad dari Basrah, dengan membawa bersamanya janji dan wasiat Rasulullah (S). Ciri-cirinya adalah berkulit sawo matang, kedua matanya cengkung, antara kedua bahunya lebar, ada tanda di wajahnya dan kering kulit kepalanya. Beliau menjawab pertanyaan kalian tentang perkara-perkara yang maha hebat, sebagaimana  beliau  telah  menjawab  ribuan  penanya  dari  berbagai  latarbelakang agama. Adakah ini tidak mencukupi buat kalian mengimani bahawa beliau adalah wasi serta utusan Imam Mahdi as kepada kalian, dan dialah Al Yamani yang dijanjikan itu?!

Adakah kalian tidak menerima kesaksian Allah SWT dan para khalifahNya yang suci as (Nabi Muhammad (S), Ali, Fatimah, Hasan, Hussein, Ali Sajjad, Muhammad Baqir, Ja’far Shadiq, Musa Kazhim, Ali Ridha, Muhammad Jawad, Ali Hadi, Hasan Askari dan Muhammad Al-Mahdi, Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan para nabi lainnya, bahkan Jibril dan para malaikat lainnya yang muqarrabin) terhadap Ahmad Al-Hasan? Dengan ribuan penglihatan (mimpi dan kasyaf) yang benar, yang dilihat oleh ramai manusia dari pelbagai agama dan negara yang berbeza; ada antara mereka yang dari Iraq, Iran, Suria, Lebanon, Hijaz, Kuwait, Mesir, Yaman, Tunisia, Algeria, Maghribi, Afganistan, Pakistan, Malaysia, Jerman, Inggeris, Amerika, Kanada, Australia, Cina dan lain-lain lagi. Antara mereka ada yang Syiah, Sunni, Nasrani, Yahudi, bahkan Buddha. Kesemua mereka bersaksi tentang hak dan kebenaran Ahmad Al Hassan, bahawa dia adalah Mahdi Pertama dan Al Yamani yang dijanjikan.

Adakah ini tidak mencukupi buat kalian beriman dengannya, sedangkan Nabi Muhammad (S) dan Ahlulbaitnya as telah memberitahu bahawa syaitan tidak akan menyerupai mereka? Sebagaimana mereka telah memberitahu kepada kita bahawa mereka akan berkumpul bersama pemilik kebenaran apabila dia muncul. Diriwayatkan daripada Abu Bakr Al-Hadhrami;

“Aku dan Aban telah menemui Abu Abdillah (Imam Shadiq) as, bahawa yang demikian itu ketika muncul bendera-bendera hitam di Khurasan. Kami bertanya, “Apa yang engkau lihat?” Beliau as berkata, “Tetaplah di rumah kalian, apabila kalian melihat kami berkumpul atas seorang lelaki, maka bangkitlah menuju kepada kami dengan membawa senjata.”[63]

Tidak mungkin Ahlulbait as akan berkumpul sesudah mereka meninggal dunia dan kembali ke pangkuan Tuhan mereka Yang Maha Pengasih, melainkan dengan penglihatan (mimpi dan kasyaf) yang benar, yang disaksikan oleh kaum mukminin. Ini disebabkan penglihatan (mimpi dan kasyaf) tersebut ada kaitan dengan pemegang urusan dan pendirinya. Diriwayatkan dari Ahmad bin Muhammad bin Abu Nasr: “Aku bertanya kepada Abul Hasan Imam Ali Ridha as, tentang mimpi itu. Beliau menahan diri (diam) terhadapku dan kemudian berkata,

“Sekiranya kami berikan kepada kalian apa yang kalian inginkan, itu tidak baik bagi kalian dan pemegang urusan ini akan dibunuh.”[64]

Malah pada hari ini, terdapat sebahagian orang yang menuntut diri mereka ahli ilmu, memandang ringan dan mencemuh mimpi tersebut, disebabkan hati mereka menyamai pandangan kaum masa lampau yang menyifatkannya sebagai mainan tidur, iaitu mereka yang menentang nabi Allah Yusuf as. Hakikatnya Allah SWT telah menganggapnya sebagai sebaik-baik kisah (ahsanul qashash) dan menjadikan tafsiran mimpi sebagai salah satu keistimewaan para khalifahNya, serta pembuktian bagi nabiNya Yusuf as, yang mana dengan tafsiran mimpi itu menjadikan beliau dikenali oleh umatnya, termasuk raja Mesir zaman itu. Mimpi itu juga menjadi bukti penentuan seorang khalifah Allah, ketikamana nabi Ya’qub as melarang Yusuf as daripada menceritakan mimpinya kepada saudara-saudaranya, kerana mimpi ini akan menjadi sebab pengetahuan mereka tentang kekhalifahan Yusuf dari ayahnya, berbanding mereka. Jika tidak, pasti nabi Ya’qub tidak akan melarang Yusuf dari menceritakan mimpinya itu! Seterusnya, adakah mereka akan memperolok-olokkan Syedah Narjis as (bonda Imam Mahdi as) dan Wahab an-Nasrani yang membantu Imam Husein as, serta mereka yang lain disebabkan keimanan mereka berdasarkan mimpi yang mereka lihat?!!!

Adakah tidak mencukupi bagi orang yang keliru tentang urusan Ahmad Al Hassan as pada hari ini, untuk mendatangi Allah SWT seperti lembaran yang putih dan memohon petunjuk dariNya, kerana Dia SWT adalah Penunjuk daripada kesesatan? Allah SWT tidak akan menjadi saksi bagi pendakwa palsu yang bermain-main dengan agamaNya dan menyesatkan umat atas namaNya. Bahkan, Allah SWT berfirman tentang kekasihNya Al-Mustafa (S): “Dan kalaulah (Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta (sebarang kata-kata rekaan). Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami. Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya dia mati dengan serta-merta). [65]

Sudah lebih tigabelas tahun, Ahmad Al-Hasan mengatakan kepada kalian bahawa dia adalah salah seorang daripada khalifah Allah dan salah seorang daripada wasi Muhammad as, yang disebut namanya di dalam wasiat datuknya (S) bahawa dialah Al Yamani yang dijanjikan. Sambil meninggikan suaranya di tengah kalian:

“Aku datang kepada kalian atas nama ayahku Imam Mahdi as, buat menuntut kemuliaannya, bukan kemuliaanku.”

Sebagai gantinya, mereka yang mendakwa ahli ilmu memimpin pengikut-pengikut mereka dalam mencela, mencemuh, menghina, memfatwakan pembunuhan, membolehkan pendustaan terhadapnya dan ansar-ansarnya. Namun begitu, kita melihat pertolongan Allah SWT ke atasnya, dengan ribuan mimpi kesaksian yang benar melalui hamba-hambaNya yang paling dikasihiNya, nabi Muhammad (S) dan keluarganya as, seluruh para rasul dan nabi, serta para malaikatNya. Adakah kalian melihat Allah SWT memungkiri janjiNya untuk menghalang sesiapa jua yang mengatakan atas namaNya secara dusta? Atau kalian melihat Allah SWT membantu pendakwa palsu? Maha suci Allah dari yang demikian itu.

Adakah tidak mencukupi keimanan kalian menjadi seperti keimanan Shafwan bin Yahya, ketikamana para Syiah meragukan keimaman Ali Ridha as sepeninggalan ayah beliau, Imam Musa Kazhim as. Antara mereka yang meragui itu adalah Ali bin Abu Hamzah Al-Batha`ini dan Ibnus Siraj, setelah terpedaya oleh dunia dan kedudukan, serta memakan harta keluarga Nabi (S), dengan menciptakan firqah Al-Waqifiyah yang menghalangi orang ramai daripada mengikuti Imam Ridha as. Maka, Shafwan bin Yahya telah mendapat petunjuk daripada fitnah itu, dengan kembali merujuk kepada Allah dan memohon petunjukNya dengan beristikharah.

Diriwayatkan dari Ali bin Mu’adz;

“Aku bertanya kepada Shafwan: “Dengan apa kamu memutuskan tetap dengan Ali (Imam Ridha as)?” Dia menjawab; “Aku melaksanakan solat, lalu berdoa memohon kepada Allah dan beristikharah kepadaNya, lalu aku memutuskan untuk tetap kepadanya (Ali).”[66]

Jika sekiranya, Imam Ridha as menerima keimanan Shafwan, bahkan dia menjadi syiah pilihannya. Maka mengapa orang yang mengaku ahli ilmu pada hari ini memperolok-olokkan orang yang mendapat petunjuk kepada Ahmad alHasan dengan beristikharah kepada Allah, lalu Allah memberi petunjuk buatnya dengan membenarkan beliau?!!

Akhirnya, adakah sulit bagi kalian untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, dengan berpuasa selama tiga hari dan bertawasul kepadaNya melalui Syedah Fatimah as, agar ditunjukkan kamu anaknya itu dan membuatkan kamu mengetahui hak serta kebenaran-nya?  Atau kamu bertawasul dengan Imam Husein as untuk mengenal penuntut balas darahnya? Atau bertawasul dengan mana-mana imam daripada Ahlulbait as, kerana mereka adalah pintu-pintu Allah dan para kekasihNya, yang menjadi saksi kepada anak mereka??

Bahkan, bagi mereka yang memohon mukjizat dan keramat akan mendapati banyak cerita mengenainya, yang mana kesemuanya telah dibukukan dan sebarkan di dalam web rasmi dakwah yang penuh barakah ini. Ia membuktikan  kebenaran Ahmad Al-Hassan, karamah dan keberkatannya  di sisi Allah SWT. Kisah mengenainya tidak berakhir dengan menghidupkan semula orang sudah mati, menyembuhkan orang sakit, berita-berita ghaib, memudahkan urusan, menyelesaikan masalah, atau kebinasaan bagi orang yang melampaui batas terhadapnya kerana mencela atau seumpamanya. Untuk maklumat lebih lanjut, bolehlah merujuk ke pautan berikut ini:

Pembaca akan mendapati mukjizat-mukjizat dan keramat-keramat yang disahkan, antaranya: anak kecil yang hidup kembali setelah mati terjatuh lemas di dalam sungai, kesembuhan dari penyakit-penyakit kronik seperti kanser dan lainnya. Antaranya juga, terlaksana beberapa mukjizat yang diinginkan oleh sebahagian mu’ammam (yang memakai serban di kepala) sebagai syarat bagi mengimani seruan Ahmad Al-Hasan dan berbagai mukjizat lain yang Allah SWT kurniakan kepada wali dan khalifahNya, Ahmad Al Hassan. Kesemua ini disahkan menerusi rakaman suara dan video, bahkan sebahagiannya disiarkan secara langsung menerusi saluran satelit kepada jutaan umat manusia.

Sekiranya, semua ini masih tidak mencukupi buat kalian, maka dengan apa lagi kalian akan beriman?!! Cukuplah Allah sebagai sandaran bagi kami dan Dia adalah sebaik-baik sandaran.




✡✡✡✡✡




Inilah pembicaraan singkat bagi menjelaskan kebenaran Syed Ahmad Al-Hasan bahawa beliau adalah pemegang panji kebenaran dan hidayah. Beliau adalah Al Yamani yang dijanjikan yang wajib dipatuhi dan didukungi. Penjelasan ini merupakan misteri kezuhuran yang tidak diketahui oleh sesiapun selain dari Ahlulbait as. Mereka as telah meninggalkan kepada kita, riwayat-riwayat yang memuatkan rahsia-rahsia dan kod-kod tertentu, demi untuk menyempitkan sebarang kesempatan bagi pengdakwa palsu yang mengajak kepada kebatilan, dan juga sebagai rahmat kepada umat manusia.

Diriwayatkan dari Malek Al Jihni, berkata kepada Abu Jaafar (as): “ Kami menyifatkan sohibul Amr dengan sifat yang tidak dipunyai oleh orang lain.” Seraya dia as berkata:

“Demi Allah! Tidak, bukan sekadar itu sahaja, sehinggalah dia sendiri menjulangnya sebagai bukti terhadap kamu, dan mengajak kamu kepadanya.”[67]

Ia sebagaimana yang telah disampaikan oleh Ahlulbait as bahawa tiada seorang pun yang mampu tampil menetapkan dan memecahkan teka-teki riwayat-riwayat zaman kezuhuran, sehingga orang tersebut sampai kepada kesimpulan bahawa dirinya sangat sesuai dengan riwayat-riwayat itu, melainkan Ahmad Al-Hasan. Cukuplah demikian itu sebagai bukti atas kebenarannya.

Sukar dipercayai, bagaimana sesetengah orang mampu mencipta peta kemunculan Imam Mahdi as, memulainya dakwahnya dan menentukan bentuk gerakannya, seolah-olah mereka menguasai pengetahuan ini. Namun, mereka menggariskan pendekatan yang salah dan menanamkannya di dalam pemikiran kebanyakan orang pada hari ini, lalu mengharapkan kemenangan di pihak mereka dan dalam masa yang sama menolak pemegang panji hidayah yang datang berdasarkan jalan kebenaran yang ditetapkan oleh Ahlulbait as. Mereka ini telah merealisasikan apa yang telah diungkapkan oleh Amirul Mu`minin dalam mensifati mereka:

“Amat malang apa yang diperbuat oleh sebahagian Syiahku, walaupun dengan kedekatan dan kecintaan mereka (kepada kami) pada hari ini, sepeninggalanku sebahagian mereka menghinakan sebahagian yang lain dan sebahagian mereka membunuh sebahagian yang lain. Nanti mereka akan bercerai berai daripada akar dan berpegang kepada ranting sebagai sokongan, yang berharap kemenangan tanpa sebarang usaha. Setiap kelompok dari mereka berpegang pada satu ranting dan akan ikut dengannya kemanapun ranting itu condong. Namun Allah (segala puji bagiNya) akan mengumpulkan Syiah-Syiah ku untuk hari yang sangat malang bagi bani Umayah.” [68]

Amat malang! bagi orang-orang yang mengharap kemenangan selain dari jalan yang ditetapkan, apabila mereka bukan sahaja tidak mendukung penyeru Allah dan pemilik panji hidayah, bahkan mencipta sebab untuk mendukung musuhnya as-Sufyani. Inilah pengakhiran bagi setiap orang yang menyalahi dan tidak mendukung pembawa kebenaran.


لا حول ولا قوة الا بالله
Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah.



✡✡✡✡✡


---------------------------------------------
[53] Al-Ghaibah ath-Thusi, ms 151, hadis 111
[54] Al-Shaff 61:6
[55] Bihar Al-Anwar, juz 23, ms 117
[56] Bashair ad-Darajat, ms 149
[57] Bashair ad-Darajat, ms 509
[58] Bihar Al-anwar, juz 49, ms 75
[59] Bihar Al-Anwar, juz 52, ms 223
[60] Al-Baqarah 2:180
[61] Al-Kafi, juz 1, ms 281, hadis 4
[62] Al-Qashash 28:68
[63] Al-Ghaibah/an-Nu’mani, ms 197
[64] Mukhtashar Bashair ad-Darajat, ms 104
[65] Al-Haqqah: 44-46
[66] Al-Ghaibah ath-Thusi, ms 61, hadis 61
[67] Al-Ghaibah an-Nu’mani, ms 220
[68] Al-Kafi, juz 8, ms 64



Sebelum << ✡✡✡✡✡ >> Selepas


Tiada ulasan: