Sabtu, 16 Februari 2019

Hubungan Imam Ahmad Al-Hasan (as) dengan kerajaan Iraq


Sirah (Riwayat hidup) Imam Ahmad Al-Hasan Al-Yamani (as) dan sejarah dakwahnya secara ringkas

Hubungan Imam Ahmad Al-Hasan (as) dengan kerajaan Iraq, Majlis Tertinggi dan  komunikasi massa Ahli-ahli Agama dalam memburuk-burukkan peribadi dan dakwahnya (as).


Pertama sekali, para pendukung (ansar) Imam Mahdi (a.s) tidak terlibat dengan sebarang bentuk proses pilihanraya dan kerajaan kerana Imam Ahmad Al-Hasan (a.s) tidak mengimani hak perlantikan oleh manusia. Beliau sebaliknya mengimani bahawa hanya Allah SWT yang berhak melantik para Nabi dan pewaris-pewaris (wasi) alaihim salam, walaupun dibenci oleh manusia. Kerap kali kerajaan Iraq membinasakan tempat-tempat ibadah terutamanya yang melibatkan Pendukung Imam Mahdi (a.s) dan menangkap sebilangan mereka. Malahan menutup pejabat rasmi pendukung Imam Mahdi (a.s) di Najaf dan menangkap puluhan pendukung  di sana sebelum peristiwa Al-Zarkah. Sebahagian pendukung tersohor yang ditangkap adalah Syed Hassan Al-Hamami, yang juga merupakan ulama besar di Najaf dan anak kepada marja’ agama yang telah meninggal dunia iaitu Syed Muhammad Ali Al-Hamami.


Mereka juga telah melarang media massa daripada mengambil gambar dan melaporkan peristiwa tersebut tatkala mereka membinasakan tempat-tempat ibadah khusus bagi pendukung-pendukung di Karbala dan Najaf serta menutup pejabat rasmi di Najaf.  Beberapa ketika sebelum berlakunya peristiwa fitnah di Al-Zarkah beberapa media massa telah melaporkan peristiwa-peristiwa tersebut sebagai menutup jenayah mereka dengan meletakkan kesalahan ke atas pendukung-pendukung Imam Mahdi (a.s) dan menuduh mereka sebagai bertanggungjawab atas apa yang telah terjadi. Segala puji bagi Allah yang telah menyingkapkan hakikat sebenar dan mendedahkan jenayah mereka. Namun begitu penangkapan ke atas sebahagian pendukung-pendukung masih berterusan.


Pada bulan Zulhijjah tahun 1428, Majlis Tertinggi dan juga cabang-cabangnya telah mengeluarkan resolusi semasa konvensyen di Najaf, yang menuntut sebahagian wakil Maraji’ agama yang hadir untuk memerangi dakwah Imam Ahmad Al-Hasan (a.s). Resolusi ini telah disiarkan di dalam siaran-siaran tv satelit dan selang beberapa hari selepas itu berlakulah peristiwa penyerangan dan penangkapan ke atas para pendukung serta penutupan pejabat mereka oleh pihak berkuasa.


Di pihak yang lain pula, ahli-ahli agama mula melakukan penerangan secara besar-besaran bagi memberikan gambaran yang salah terhadap dakwah Imam Ahmad Al-Hasan (a.s). Sebagai contoh gambaran salah dan pembohongan tersebut adalah sepertimana disiarkan di dalam tv satelit Al-Kausar yang berpusat di Iran. Apabila mereka menjemput Ali Al-Kurani sebagai tetamu khas dan keseluruhan rancangan didedikasikan bagi membicarakan mengenai Imam Ahmad Al-Hasan (a.s)  serta memberikan gambaran yang salah terhadap mesej dakwahnya. Antara yang diperkatakan Ali Al Kurani adalah pertuduhan bahawa “Imam Ahmad Al-Hasan mengatakan dirinya telah mengahwinkan kakaknya kepada Imam Mahdi”. Padahal dia mengetahui dengan yakin bahawa Imam Ahmad Al-Hasan (a.s) tidak pernah mengatakan hal yang sedemikian dan menyedari bahawa dirinya telah berbohong, namun tidak segan melakukan pembohongan dan perbuatan keji tersebut tanpa memperdulikan umurnya yang telah tua dan serban yang melilit di kepalanya.


Begitu juga tv satelit Iraq (yang dibiayai oleh kerajaan Iraq bagi menyiarkan pendirian kerajaan dan mempertahankannya) di dalam program beritanya (beberapa hari selepas berlakunya peristiwa Al Zarkah yang menafikan adanya kaitan dengan Imam Ahmad Al-Hasan a.s) telah menghubungi individu tertentu melalui telefon dan individu tersebut secara terang-terangan  telah memfatwakan kewajipan membunuh Imam Ahmad Al-Hasan (a.s). Perkara ini tidak pernah dinafikan penerbit rancangan atau stesen tv kerajaan tersebut, sekaligus menunjukkan kebersetujuan mereka dan menjelaskan niat mereka ketika itu, yang diikuti dengan perlaksanaannya tidak lama selepas itu.


Walaupun diperlakukan sedemikian, para pendukung Imam Mahdi (as) tidak pernah mengangkat senjata melawan kerajaan yang telah mengarahkan angkatan bersenjatanya meroboh dan membinasakan tempat-tempat ibadat mereka di Najaf dan Karbala, menutup pejabat mereka di Najaf, menangkap dan masih berterusan menahan sebilangan mereka sehingga kini. Ini disusuli pula dengan peristiwa pada bulan Muharram 1429 hijrah yang menyaksikan ramai pendukung yang telah syahid dan ditahan.


Telah berkata Imam Ahmad Al-Hasan (a.s) ketika menjawab soalan seorang penanya: “Telah dilaknat Haidar Musyattat maka lihatlah apa yang telah terjadi kepadanya, kami telah dizalimi oleh Abdul Aziz Al-Hakim dan anaknya maka lihatlah apa yang telah terjadi kepada mereka, kami telah dizalimi oleh tentera marja’ agama dan juga tentera Muqtada Sadr maka lihatlah apa yang terjadi kepada mereka dan tidak lama selepas itu, bahkan Allah tidak pernah melengahkan balasanNYA kepada semua mereka walau seharipun. Haidar Musyattat berkelakuan seperti orang gila, yang kemudiannya dipenjarakan di Iran kerana berkelakuan tidak senonoh dan diikuti dengan kematiannya di Iraq setelah melakukan sumpah laknat di dalam akhbar rasminya mengatakan aku (Imam Ahmad a.s) telah berdusta. Manakala Abdul Aziz Al-Hakim dan anaknya telah bertindak melampaui batas ke atas pejabat pendukung Imam Mahdi (a.s) dua tahun sebelumnya dan tidak berapa lama selepas itu mereka dihinakan oleh Amerika apabila tertangkapnya ejen mereka yang bernama Ammar bin Abdul Aziz serta dimasukkan ke dalam penjara. Sekiranya mereka menentang Amerika sudah tentu ianya suatu kebanggaan bila diperlakukan sedemikian, tetapi sebaliknya tunduk kepada mereka dan berbaik-baik pula bersama mereka. Malahan Abdul Aziz Al-Hakim telah menziarahi Rumah Hitam (kediaman rasmi pemerintah Iraq) selepas itu dan bersalaman dengan musuh Allah, George Bush dengan penuh kemesraan. Perlakuan ini menunjukkan ketidakwarasan dan aib di dunia ini. Setahun sebelumnya iaitu sebelum berlakunya peristiwa Muharram di mana keseluruhan kami telah berkumpul, Abdul Aziz dan anaknya telah bertindak menutup pejabat kami setelah beberapa hari kami membukanya dan menahan secara zalim dan kasar sebilangan besar pendukung yang memuji kami berdekatan dengan makam Amirul Mukminin Ali (a.s). Setelah itu disempurnakan pula oleh tentera Marja’ agama yang didorong oleh Syaitan dan tentera Muqtadha yang berdosa melakukan pembunuhan dan pembinasaan tempat-tempat ibadat kami di seluruh pelusuk Iraq, maka apakah balasan mereka beberapa hari selepas itu? Abdul Aziz Al-Hakim menderita penyakit kanser dan ini adalah azab dan keaiban di dunia lagi sebelum akhirat. Manakala tentera Marja’ agama dan tentera Muqtada berbunuhan sesama mereka tidak berapa lama selepas itu sehingga tiada pihak yang menang atau mengalahkan yang lainnya. Bahkan tentera Muqtada telah melakukan pembunuhan sebilangan besar tentera Marja’ agama dan terjadi sebaliknya selepas itu bilamana tentera marja’ agama berjaya mengalahkan tentera Muqtada, bukankah semua ini adalah tanda-tanda? Atau apakah yang perlu Allah lakukan agar manusia beriman? Atau perlu diutuskan kepada setiap mereka Malaikat yang memukul kepala mereka dan bila ditanyakannya kenapa kamu memukul aku, Malaikat itu akan menjawab kerana kamu tidak beriman dengan Ahmad Al-Hasan. Adakah ini yang mereka inginkan? Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah yang Tinggi lagi Maha Agung.”

Sebelum✡✡Menu✡✡Selepas


Tiada ulasan: