Ahad, 17 November 2013

Perbezaan Zaman Kezuhuran Dan Zuhurnya Imam Mahdi Muhammad bin al-Hassan al-Askariy (as).

Dikirim oleh Muhammad Eshraq 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Para ansarullah yang dirahmati Allah sekalian,

Maafkan saya kerana terpaksa membetulkan satu kekeliruan yang saya rasakan amat perlu untuk diperbetulkan di kalangan ansar ketika menyampaikan dakwah Imam Ahmad Al Hassan Al Yamani as. Saya dapati ada sesetengah ansar yang membuat post atau komen facebook mengatakan Imam Mahdi Muhammad bi al-Hassan (as) sudah pun ZUHUR. Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya keluar daripada ansar kerana ianya akan membawa kekeliruan kepada orang yang kita dakwahkan terutamanya syiah marajik. Apabila kita mengeluarkan kenyataan sebegini seolah-olah kita mengatakan bahawa keghaiban penuh Imam Mahdi (as) telah pun tamat. Sedangkan Imam Ahmad Al Hassan (as) dan ansar-ansar yang rapat dengannya tidak pernah menyatakan sebegini.

Memang Imam Ahmad (as) ada menyatakan bahawa kita sekarang ini berada di ZAMAN KEZUHURAN, tetapi yang dimaksudkan oleh Imam Ahmad (as) dengan zaman kezuhuran di sini bukanlah Imam Mahdi Muhammad bin al-Hassan al-Askariy (as) telah pun ZUHUR. Yang Imam Ahmad (as) maksudkan adalah kezuhuran Imam Mahdi (as) itu dimulai dengan beliau (as) mengutuskan wasi dan utusannya kepada khalayak ramai. Di mana bermula ujian, tapisan dan saringan di kalangan umat syiah yang mempercayai Imam Mahdi (as) sebagai Imam Keduabelas, sehingga yang tinggal hanyalah tersangat sedikit bilangannya iaitu 313 dan 10,000 ansarnya. Yang mana keimanan serta keyakinan mereka kepada yang ghaib (yakni Imam Mahdi as) adalah solid dan jitu. Inilah maksud ZAMAN KEZUHURAN sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Ahmad (as) dan yang difahami oleh ansar-ansarnya yang terdekat, sepertimana yang termaktub dalam kitab-kitab karangan mereka.

Perkara ini dijelaskan di dalam kitab Qiraatun Jadidah fi Riwayat as-Samari (penemuan atau pembacaan baharu terhadap riwayat as-Samari) yang dikarang oleh Ustaz Dhiya' uz-Zaydi, salah seorang syeikh ansar yang giat mengarang kitab-kitab berkaitan dakwah Al Yamani as.

Di dalam kitab ini ustaz Dhiya' uz Zaydi menerangkan riwayat as Samari yang menjadi hujah utama golongan syiah marajik menolak Imam Ahmad Al Hassan (as), hadisnya seperti berikut:

Syeikh Saduq (r.a) meriwayatkan daripada Ali bin Muhammad Al Samari dengan sanad yang sahih, dia telah berkata: “Telah diceritakan kepada kami oleh Abu Muhammad Al Hassan bin Ahmad Al Maktab, dia telah berkata: Aku telah berada di Bandar Al Salam di tahun berlakunya kematian Syeikh Ali bin Muhammad Al Samari (semoga Allah mensucikan ruhnya), aku telah melawatnya beberapa hari sebelum kematiannya, dan dia telah mengeluarkan kepada khalayak ramai Tawqi’ (surat bercop mohor Imam Al Mahdi a.s) yang dicatatnya: “Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, wahai Ali bin Muhammad Al Samari (semoga Allah membesarkan pahala saudara-saudara kamu pada kamu), sesungguhnya kamu akan mati dalam tempoh masa enam hari! Oleh itu, selesaikanlah segala urusanmu dan jangan kamu mewasiatkan kepada sesiapapun untuk menggantikan tempat kamu. AKU TELAH DIARAHKAN UNTUK GHAIBAH PENUH DAN TIDAK ADA KEMUNCULAN (ZUHUR) MELAINKAN SETELAH DIZINKAN ALLAH AZZA WA JALLA, IAITU UNTUK SATU TEMPOH YANG LAMA, HATI-HATI MANUSIA MENJADI KERAS DAN BERLELUASANYA KEKEJAMAN. MAKA AKAN ADAN DI KALANGAN SYIAHKU YANG MENDAKWA TELAH MELIHATKU (MUSYAHADAH). SIAPA YANG MENDAKWA TELAH MELIHATKU SEBELUM KELUARNYA SUFYANI DAN SAIHAT (SUARA/ JERITAN DARI LANGIT), MAKA DIA ADALAH PEMBOHONG BESAR. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.” Dia berkata lagi: Maka kami telah mencatatkannya dan kami meninggalkannya selepas itu. Kami kembali kepadanya pada hari keenam dan dia mengelokkan dirinya, seraya ditanyakan kepadanya: “Siapakah wasiy (pemegang wasiat) kamu setelah kamu?” Lalu dia berkata: “Bagi Allah urusan itu dan Dia lah yang menyampaikannya.” Dia (r.a) meninggal dunia selepas itu, dan itu adalah perkataan terakhir yang kami telah dengar darinya.

Di dalam hadis ini ada dua ungkapan yang berbeza makna dan pengertian iaitu ZUHUR (kemunculan) dan MUSYAHADAH (penglihatan/ penyaksian). Dalam menerangkan kedua-dua makna perkataan, ustaz Dhiya' uz Zaydi menyatakan bahawa zuhur adalah berbeza dengan musyahadah kerana zuhur itu dimulai dengan Imam Mahdi Muhammad bin al-Hassan (as) mengutuskan wasi dan utusannya kepada khalayak umum, setelah berlalu tempoh masa yang lama, hati-hati menjadi keras dan berleluasanya kekejaman. Tatkala Musyahadah pula adalah penyaksian mata iaitu samada penyaksian secara berseorangan atau beramai-ramai. Musyahadah dengan maksud yang pertama iaitu penyaksian berseorangan, maka hal ini telah pun berlaku di sepanjang sejarah keghaiban penuh. Di mana ramai individu yang dirahmati oleh Allah SWT telah pun bertemu dan membawa mesej daripada Imam Mahdi (as). Perkara ini disepakati oleh para ulama syiah dahulu hingga kini, tetapi malangnya mereka membuat pengecualian terhadap Imam Ahmad (as) kerana perasaan hasad dengki mereka terhadap wasi yang diutuskan.

Yang dimaksudkan dengan hadis as-Samari ini adalah musyahadah atau penyaksian beramai-ramai. Inilah penyaksian yang dikategorikan sebagai PEMBOHONG BESAR, kerana penyaksian beramai-beramai ini hanya akan berlaku setelah berlakunya dua perkara iaitu keluarnya SUFYANI dan SAIHAT. Ini bermaksud GHAIBAH PENUH masih lagi belum tamat buat masa ini, sehinggalah terlaksananya dua perkara ini iaitu Sufyani dan Saihat.

Akhirnya, saya minta tuan2 dan puan2 para ansar yang dirahmati Allah sekalian berhati-hati dalam menyampaikan maksud sebenar kezuhuran atau zaman kezuhuran Imam Mahdi (as), kerana ditakuti kita termasuk ke dalam golongan PEMBOHONG BESAR yang dimaksudkan oleh hadis di atas dan sekaligus mengelirukan orang ramai. Semoga kita tidak mengulangi kesilapan sama yang dilakukan pengikut-pengikut heshemboy yang mendakwa Imam Mahdi (as) telah zuhur dan berhubung dengan orang ramai melalui satu akaun di youtube. Ini adalah satu pembohongan besar terhadap Imam Mahdi (as), sekaligus membelakangkan perintah Imam Ahmad (as) yang mengatakan bahawa Imam Mahdi (as) tidak berhubung dengan sesiapa jua pun melainkan melalui wasi dan utusannya. Seterusnya menghukumkan pengklaim Imam Mahdi (heshemboy) sebagai pendusta dan yang mengikutnya adalah sesat, serta meminta mereka yang mengikutnya supaya menginggalkan kesesatan tersebut.

Semoga penjelasan yang sedikit ini dapat diambil manfaat dan sekiranya ada persoalan, saya akan cuba menjawabnya sekadar kemampuan dan keilmuwan yang saya ada, insya Allah.

wallahu a'lam...

Tiada ulasan: