Rabu, 1 Julai 2015

Temubual Ekslusif Secara Langsung Dengan Syed Ahmad Al Hassan (as) (Mahdi Akhir Zaman)





TEMUBUAL EKSLUSIF SECARA LANGSUNG DENGAN SYED AHMAD AL HASSAN (AS) PADA 26 JUN 2015


Terjemahan Tn. Muhammad Eshraq


Kata-kata aluan dari mediator program Profesor Ali al Amili:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Allah telah berselawat ke atas Muhammad dan Keluarga Muhammad, para Imam dan para Mahdiyyin dengan jaminan keamanan dan kesejahteraan.

Salam ke atas Keluarga Muhammad.
Salam ke atas syiah dan ansar mereka di mana jua mereka berada.
Salam ke atas para pengunjung yang dikasihi lagi dimuliakan dan semoga Allah merahmati serta memberkati kalian.
Semoga Allah menerima dan menetapkan ganjaran ke atas puasa, bangun malam dan juga seluruh amalan yang kalian lakukan.

Pada hari ini jumaat 9 ramadhan 1436 hijrah bersamaan dengan 26 jun 2015, kita berasa amat bahagia dan dimuliakan kerana tetamu jemputan untuk program kita pada malam ini ialah Syed Ahmad Al Hassan (as). Untuk pengetahuan kita juga bahawa bersama-sama dengan saya pada malam ini ialah Dr. Alaa al Salim yang akan sama-sama membawakan soalan-soalan kepada Syed Al Yamani (as), semoga Allah memelihara beliau.

Kami mengalu-alukan dan mengucapkan selamat datang kepada Al Yamani Keluarga Muhammad iaitu Syed Ahmad Al Hassan (as) untuk sama-sama berada dengan para ansarnya. Kami juga mengucapkan terima kasih kepada tuan kerana sudi menerima jemputan admin program “Realiti Semasa” ini, walaupun terdapat banyak kesulitan di pihak tuan, semoga Allah membantu tuan dan memelihara tuan daripada sebarang perkara buruk. Sebagai permulaan, kami harap dapat mendengar kata-kata aluan daripada tuan buat para pendengar yang menanti-nantikan tuan sekarang…dengan segala hormatnya dipersilakan tuan.
Imam (as):

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.
Allah telah berselawat ke atas Muhammad dan Keluarga Muhammad yang bersih lagi suci, para Imam dan para Mahdiyyin dengan jaminan keamanan dan kesejahteraan.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Semoga anda semua berada dalam kebaikan di sepanjang tahun. Saya bermohon kepada Allah supaya kalian dapat merayakan hari yang penuh barakah ini dan menjadikan kalian hamba-hambaNya yang paling sempurna di sisiNya dalam menerima setiap kebaikan yang diturunkanNya dan dipeliharaNya kalian daripada segala keburukan, dengan limpahan kurniaanNya daripadaNya SWT. Sebagai permulaan saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan yang mulia ini, saya berasa amat berbahagia sekali kerana dapat bersama-sama dengan kalian pada hari ini untuk mendengar serta menjawab soalan-soalan dan pertanyaan-pertanyaan kalian. Sekiranya kalian mendengar dengan jelas suara saya, kalian boleh mulakan dengan mengajukan soalan-soalan, in sya Allah. Saya pulangkan semula mikrofon pada kalian dan saya sedia berkhidmat untuk kalian, in sya Allah.

Dr. Alaa al Salim:


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.
Allah telah berselawat ke atas Muhammad dan Keluarga Muhammad yang bersih lagi suci, para Imam dan para Mahdiyyin dengan jaminan keamanan dan kesejahteraan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Semoga allah memanjangkan umur Imam kami dan tuan kami Ahmad Al Hassan dan seluruh ansar yang dimuliakan dan pengunjung-pengunjung chat room yang diberkati ini.

Soalan pertama yang diajukan adalah berkaitan dengan perihal tuan memulakan seruan Allah ini berseorangan lagi bersendirian dan dengan limpah kurniaan Allah Tabaraka wa Taala ke atas tuan, sekarang ini ia menjadi satu umat dan di sini terdapat ramai ansar yang beriman dengan dakwah Al Yamani yang diberkati bertebaran di setiap pelusuk muka bumi. Oleh itu, bolehkah kami mengetahui sesuatu di permulaan gerakan dakwah Ilahiyah ini dan kesukaran-kesukaran yang dilalui pada peringkat tersebut. Dan jika boleh tuan terangkan sebab-sebab yang akhirnya memaksa tuan menjauhkan diri dari orang-orang mukmin selama beberapa tempoh waktu.
Dipersilakan tuan dan mikrofon buat tuan, diiringi dengan selawat ke atas Muhammad dan Keluarga Muhammad.

Imam (as):

Ya Allah. Suara dapat didengar dengan jelas, in sya Allah. Sebenarnya amat sukar buat saya membicarakan hal ini secara terperinci kerana waktu yang amat terhad dan terlalu banyak peristiwa yang telah kami hadapi pada waktu tersebut. Oleh itu, saya akan memendekkannya dengan hanya menyebutkan sebahagian poin-poin penting sahaja iaitu yang berkaitan poin-poin tertentu sahaja secara terperinci:

Permulaan dakwah secara terbuka adalah pada tahun 2002. Setelah itu rejim Saddam mula mengekori dan memaksa saya utuk menjauhkan diri selama beberapa bulan. Pada tempoh waktu tersebut tiada seorang mukmin pun yang melawat saya melainkan Syeikh Nazhim, semoga Allah memelihara beliau. Saya masih ingat lagi bahawa beliau banyak membantu saya sehinggalah sampai ke waktu hampir jatuhnya rejim Saddam. Tidak lama selepas jatuhnya rejim Baath Saddam pada tahun 2003, maka dakwah Mahdawiyah mula bergiat aktif semula di Najaf, Basrah, Immarah, Nasiriyyah, Baghdad, Karbala dan wilayah-wilayah lain di Iraq. Kemudian Syeikh Nazhim al Uqaili datang kepada saya beserta dengan Hussin al Jaboori dan Abu Sajjad, semoga Allah mengganjari mereka dengan kebaikan. Lalu saya telah pergi bersama-sama dengan mereka ke kota suci Najaf, yang pada ketika itu dengan limpahan kurniaan Allah terdapat seorang ansar di sana iaitu Syeikh Habib al Mukhtar (semoga Allah memelihara beliau), bapa kepada Syeikh Hazim al Mukhtar. Beliau memiliki sebuah rumah di Hayyu Nasr di Najaf dan di rumahnya itu terdapat sebuah serambi atau dewan yang berasingan dengan rumahnya. Lalu pada ketika itu saya, memutuskan untuk melakukan kerja-kerja dakwah di situ. Beginilah bagaimana saya menjadikan tempat ini sebagai serambi atau dewan atau pejabat...kamu namakannya apa yang kamu suka…untuk berjumpa dengan orang ramai, iaitu para ansar dan selain mereka dari kalangan pelajar-pelajar hauzah serta lain-lainnya. Pada tempoh waktu tersebut, saya menetap di sebuah rumah yang bercantum dengan Masjid Sahlah dan dalam masa yang sama saya berada di dewan atau pejabat. Pada waktu tersebut, saya berjumpa dengan orang ramai dan juga para mukmin, sebagaimana saya juga pergi melawat dan bersolat di husainiyah-husainiyah. Di samping mendirikan solat jumaat dan bertemu dengan para mukmin, serta orang-orang bertanyakan soalan-soalan di husainiyah-husainiyah.

Setelah itu urusan dakwah menjadi sempit disebabkan fatwa-fatwa salah dan tidak bertanggungjawab daripada sesetengah pihak otoriti agama. Amat malang sekali begitulah gerakan-gerakan sebahagian orang yang berpengaruh di Iraq pada ketika itu. Lalu memaksa saya mempertanggungjawabkan sebahagian ansar, yang antaranya Syeikh ‘Aidan Abu Hussin untuk mencari tempat yang selamat buat saya menetap pada tahun 2006. Mereka telah dapat mencari sebidang tanah pertanian di pinggir Najaf dan saya telah membeli tanah tersebut pada ketika itu, sekaligus membina sebuah rumah di situ supaya saya dapat menetap bersama-sama dengan keluargaku. Secara praktiknya saya berpindah untuk menetap di rumah itu pada penghujung tahun 2006 dan secara umumnya terpisah dengan para ansar serta orang ramai, yang menyebabkan saya tidak mampu terus berada di pejabat atau dewan untuk berjumpa dengan para ansar dan juga orang ramai. Saya juga tidak mampu bersolat jumaat di husainiyah-husayniyah sebagaimana sebelumnya dan beginilah bagaimana bermulanya fasa baru dalam dakwah di penghujung tahun 2006. Iaitu fasa di mana saya tidak boleh berjumpa dan bersemuka dengan para mukmin, serta berbicara langsung dengan mereka seperti sebelumnya. Oleh itu, saya menghadkan penyampaian berita-berita dan arahan-arahan melalui beberapa orang mukmin yang dipercayai sahaja, semoga Allah memelihara mereka. Di mana mereka mengetahui lokasi rumah berhubungan dan melawat saya pada ketika itu, antara mereka adalah Syeikh ‘Alaa al Miyali, Hussin al Jaboori, Abu Sajjad yang saya sebutkan sebelum ini, abang saya Muhammad (semoga Allah memelihara beliau), Syeikh Haydar al Ziyadi, Syeikh Muhammad al Hirisyawi dan lain-lain mukmin yang dipercayai pada ketika itu. Di samping itu saya juga terus berhubungan dengan Hauzah Imam Mahdi dan pejabat yang berada di Najaf pada waktu itu, serta berterusan menyampaikan arahan-arahan kepada mereka.

Saya terus berada di rumah ini sehinggalah dipaksa untuk keluar rumah pada awal tahun 2007, yang mana rumah saya ini telah diranapkan sepenuhnya oleh pasukan tentera yang besar, beberapa jam selepas saya bertindak keluar rumah bersama-sama dengan keluarga saya iaitu saya, isteri dan juga anak-anak saya. Tanpa ada sebarang justifikasi undang-undang atau logika akal yang membenarkan serangan ini dan ia tidak lain tidak bukan hanyalah tindakan sembrono kumpulan-kumpulan yang berpengaruh pada ketika itu. Amat malang sekali kerana mereka telah bertindak menangkap salah seorang jiranku dan telah menyiksanya dengan siksaan yang teruk, sedangkan jiranku itu langsung tidak mengetahui siapa saya sebenarnya, maksudnya saya berada bersama mereka tetapi mereka tidak mengenali siapa saya sebenarnya. Beginilah hal keadaan saya yang sentiasa berada dalam keadaan tidak aman dan tidak lagi sesuai untuk berhubung dengan para mukmin serta orang ramai amnya, terutamanya selepas berlakunya peristiwa yang masyhur pada tahun 2008. Ini membuatkan saya berterusan menghadkan perhubungan hanya melalui beberapa orang mukmin yang dipercayai sahaja dan juga melalui laman-laman dakwah di internet, serta berada di hauzah dan pejabat yang dibuka, ketikamana saya berpeluang untuk berbuat demikian. Hal keadaan saya berterusan seperti ini bermula dari penghujung tahun 2006 sehinggalah ke penghujung tahun 2012. Setelah cukup enam tahun sepertimana yang Allah SWT kehendaki, maka Allah lapangkan dan luaskan limpahan kurniaan daripadaNya SWT. Diperluaskan buatku dengan mengurniakan sebahagian mukmin, yang dengan usaha mereka saya mampu berpindah ke tempat yang lebih selamat. Beginilah bermulanya fasa baru dalam dakwah yang membolehkan saya membuka laman rasmi di media sosial facebook dan mampu sekali lagi berada di kalangan kalian dalam medan sosial ini, seterusnya mampu berbicara dengan para mukmin dan manusia keseluruhannya melalui laman (paltalk) ini . Beginilah bagaimana saya kembali berada di tengah-tengah kalian sambil mendengar dan membaca apa yang kalian tuliskan, berbicara dan berdialog dengan kalian melalui laman sosial yang diberkati ini...segala pujian hanya bagi Allah, Penjaga sekalian alam.

Pada hari ini juga telah dibukakan lembaran baru buat kita iaitu urusan yang berkaitan dengan pembentukan Briged al Qoim bagi mempertahankan kemuliaan tempat-tempat dan makam-makam suci serta bumi Iraq. Di situ terdapat keperluan bagi komunikasi vokal dengan kalian dan berada bersama-sama dengan kalian, in sya Allah. Maha Suci Allah, saya telah mendapat jemputan untuk berada dalam program yang diberkati ini daripada Profesor Ali Amili (semoga Allah memelihara beliau) di laman facebook saya. Dan in sya Allah di masa akan datang juga saya akan berada di samping kalian bila diperlukan, semoga Allah memberikan kejayaan dan kecemerlangan. Saya harap bicara saya ini tidak membosankan kalian...mikrofon buat kalian.


Prof Amili:

Allah berselawat ke atas Muhammad dan Keluarga Muhammad, para Imam dan para Mahdiyyin dengan jaminan keamanan dan kesejahteraan.
Semoga Allah memanjangkan umur tuan, mawla dan mahkota kami Al Yamani Keluarga Muhammad Imam Ahmad Al Hassan (as). Tuan, sangat penting buat kami mendengar sendiri komen Syed Ahmad Al Hassan (as) berkenaan mereka yang cuba memperdayakan orang ramai dengan menambah nama-nama pada nasab imam seperti "Qati’” contohnya, yang sudah tentunya tidak benar dan hanya sekadar khabar angin sahaja. Manakala di pihak yang lain pula, terdapat orang yang menyamar sebagai individu Syed Ahmad Al Hassan serta mengeksploitasi nama dan gelarannya untuk berbicara menggunakan namanya, mendakwa mewakili beliau, atau berhubungan dengannya. Dan malang sekali apabila mereka ini juga mendakwa beriman dengan beliau. Apakah komen tuan terhadap perkara ini?

Imam (as):

Ya Allah. Kalian dapat mendengar suara saya dengan jelas, in sya Allah. Segala pujian hanya bagi Allah. Hakikat perkara ini, maksud saya…saya tidak tahu apa yang harus saya katakan berkenaannya!

Ahmad Al Hassan adalah peribadi yang dikenali dan dapat dikenalpasti identitinya. Nama saya terhad sepertimana di dalam daftar rasmi di Iraq sejak lahir iaitu Ahmad (bin) Ismail (bin) Saleh. Saya mempunyai rekod awam di Iraq, status penduduk awam, sijil kewargenagaraan Iraq, pasport Iraq dan juga sijil Fakulti kejuruteraan Universiti Basrah. Kesemuanya disahkan beserta dengan gambar dan maklumat penting berkenaan peribadi saya.

Oleh itu, penambahan nama-nama yang tidak benar kepada nama saya oleh pihak-pihak atau individu tertentu, sepatutnya sudah cukup untuk membuktikan dia adalah pendusta dan tidak boleh dipercayai. Sebenarnya saya juga amat pelik dengan orang-orang yang…maksud saya sesetengah orang yang mengada-adakan nama-nama ini kerana terdapat orang yang mengikut dan mempercayai mereka…saya merasa amat pelik kerana mereka masih mempercayai dan mengikuti orang-orang ini! Apakah pendustaan mereka ini tidak cukup?! Saya benar-benar tidak tahu…

Walaubagaimanapun berkenaan orang yang didakwa mengeksploitasi nama saya dan mendakwa berjumpa dengan saya tanpa melalui saluran yang ditetapkan, yang telah saya khabarkan dan gunakannya sejak dari permulaan dakwah sehingga ke hari ini, maka kesemua mereka adalah pendusta dan pendustaan mereka telah terdedah serta nampak jelas di hadapan semua orang yang berakal dan berfikiran waras…saya merasakan tidak perlu berbicara lebih lanjut lagi berkenaan mereka…semoga Allah mengganjari kalian dengan kebaikan…tiada apa lagi yang hendak saya katakan berkenaan perkara ini…saya serahkan mikrofon buat kalian, in sya Allah.

Dr. ‘Alaa al Salim:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Semoga Allah mengganjari tuan dengan kebaikan.

Tuan kami, walaupun terasa berat di hati kami sebenarnya untuk menanyakan soalan-soalan kepada tuan, namun kami berharap dengan hak Muhammad dan Keluarga Muhammad (as) pertemuan ini dapat membuahkan banyak hasil dan faedah, in sya Allah. Antara soalan yang kami dan selain kami ajukan buat Syed Ahmad Al Hassan (as), yang barangkali memerlukan penjelasan adalah berkenaan saluran yang beliau gunakan dalam menyebarkan ilmu-ilmu pengetahuan dan jawapan-jawapan yang terkandung dalam buku-buku, kenyataan-kenyataan dan bimbing-bimbingannya buat umat manusia keseluruhannya sejak dari bermulanya gerakan dakwah yang diberkati, yang boleh dianggap sebagai saluran-saluran rasmi yang mewakili dakwah Ilahiyah ini. Inilah soalannya…dipersilakan tuan kami.


Imam (as):

Ya Allah. Kalian dapat mendengar suara saya dengan jelas, in sya Allah.
Ada pelbagai saluran dalam menyebarkan ilmu-ilmu. Pada permulaannya hanya ada satu saluran sahaja buat kami, yang sudah tentunya dewan atau pejabat yang terletak di Najaf, sebagaimana yang telah saya sebutkan sebelum ini iaitu di Hayyu Nasr. Di mana saya sendiri berada di situ dan menerusinya saya mengarahkan sebahagian mukmin seperti syed ‘Alaa al Miyali, saya mohon maaf…barangkali saya tidak dapat menyebutkan kesemua mereka…maksud saya barangkali bilangan mereka…syed ‘Alaa al Miyali, syiekh Hazim al Mukhtar, Habib al Sa’edi, syeikh Nazhim al Uqaili dan termasuk syeikh Haydar al Mushattat sebelum tuntutannya yang batil. Saya telah mengarahkan kesemua mereka supaya mencetak beberapa penerbitan dan buku-buku di kedai-kedai percetakan yang wujud di Najaf, serta mengedarkannya kepada orang ramai. Setelah itu saya mempertanggungjawabkan seorang mukmin iaitu jurutera Ahmad Baha’, yang barangkali beliau ada di dalam ruangan chat room ini…beliau ada bersama kalian. Saya mempertanggungjawabkan beliau untuk membina laman web di internet bagi menyebarkan kenyataan-kenyataan, buku-buku dakwah dan berhubungan dengan orang ramai menerusi internet. Sesungguhnya beliau telah pun berbuat demikian dengan kerjasama profesor Dhiya al Zaydi, semoga Allah melapangkan urusan beliau. Saya berkeyakinan bahawa jurutera Ahmad Baha’ mempunyai banyak kelebihan dan semua saluran perhubungan melalui internet adalah dengan hasil usahanya yang diberkati ini, semoga Allah memelihara beliau dan mengganjari beliau dengan kebaikan. Laman tersebut berkembang pesat selepas itu dengan usaha gigih para mukmin sehingga ia menjadi sepertimana hari ini, yang sudah tentunya dengan limpahan kurniaan Allah SWT. Begitu juga telah bertambah satu lagi laman komunikasi sosial untuk saya dapat bersama-sama dengan kalian, seterusnya buat sementara waktu dapat menjadi ganti kepada serambi, dewan atau pejabat yang saya sendiri pernah berada di situ. Maksud saya inilah ganti yang tersedia sekarang untuk membolehkan saya bersama-sama kalian. In sya Allah, hal keadaan akan kembali menjadi sepertimana dahulu kala, dengan limpahan kurniaan Allah dan limpahan usaha serta jihad para mukmin, semoga Allah memelihara mereka.

Juga terdapat saluran perhubungan selain dewan atau pejabat yang saya gunakan sejak permulaan dakwah, iaitu terdapat beberapa orang mukmin yang menyampaikan arahan-arahan saya. Perkara ini berterusan walaupun setelah saya menjauhkan diri, sebagaimana yang saya jelaskan sebelum ini. Beginilah secara ringkas…saya sedia berkhidmat untuk kalian, sekiranya kamu mempunyai perkara lain lagi untuk ditanyakan. Mikrofon buat kalian.

Prof Amili:

Allah berselawat ke atas Muhammad dan Keluarga Muhammad, para Imam dan para Mahdi dengan jaminan keamanan dan kesejahteraan.

Ya Rabb, ambilllah umurku dan berikan ia kepada Imamku Ahmad Al Hassan (as). Apakah penilaian tuan terhadap realiti yang berlaku di rantau ini sekarang? Dan Apakah peranan Qoim Keluarga Muhammad Imam Ahmad Al Hassan (as) terhadap apa yang berlaku di rantau ini?

Kami juga ingin mendengar mesej tuan kepada bangsa-bangsa dan pemerintah-pemerintah, terutamanya kerajaan Iraq. Dipersilakan mawlaku dengan iringan selawat ke atas Muhammad dan Keluarga Muhammad.

Imam (as):

Pertamanya, yang saya kasihi Ali Amili, semoga Allah memelihara kamu dan memanjangkan umur kamu. Situasi di rantau TImur Tengah adalah amat kritikal sekali, kerana berlangsungnya perang sektarian yang aktif sejak bermulanya revolusi Arab, yang membuka ruang buat gerakan salafi wahabi yang tidak mengenal erti selain dari pembunuhan, penumpahan darah dan penyembelihan. Sebagaimana sekarang ini kamu dapat lihat gerakan Salafi di Iraq, Syria dan Libya sebagai contohnya. Mereka telah membunuh dengan begitu dahsyat sekali orang-orang kristian, yazidi, syiah dan sunni yang tidak tunduk kepada manhaj mereka dalam menyembah berhala Hubal di langit yang berupa bentuk. Maksud saya termasuk sunni yang tidak tunduk kepada manhaj mereka juga akan dibunuh dan diperlakukan dengan teruk, hatta kanak-kanak juga tidak terselamat dari disembelih. Mereka menjadikan para wanita sebagai tawanan dan melampaui batas ke atas kehormatan manusia. Kalian melihat apa yang mereka telah lakukan saban hari, malah kesan antikuiti sejarah dan warisan kemanusiaan juga mereka hancurkan. Di sana sedang berlangsung perang sektarian yang dimulai oleh agama Wahabi Salafi Takfiri ke atas setiap orang yang menyanggahi mereka dan setiap perkara yang tidak bersesuaian dengan akidah rosak mereka, khususnya terhadap syiah Ahlulbait dan makam-makam keluarga Muhammad (as)!

Inilah realiti yang tiada seorang pun mampu menutup matanya dan berkata ianya tidak wujud…hari ini kalian mendengar berita tentang letupan bom yang dilakukan oleh penjenayah Salafi di salah sebuah masjid syiah di Kuwait!

Penilaian saya terhadap risiko bahaya yang kita hadapi sekarang ini dengan kewujudan Salafi Wahabi Takfiri adalah sangat besar, dan amat perlu dikumpulkan segala kekuatan dan mempersiapkan peralatan bagi menghancurkan gerakan ini sepenuhnya dan sepantas mungkin. Jika tidak, natijah yang akan menyusul nanti disebabkan kelewatan menghancurkan dan menghabiskan kewujudan gerakan ini adalah amat malang sekali. Kita keseluruhannya akan mengalami kerugian yang besar, ianya bukan sekadar korban nyawa, wang atau harta benda. Tetapi lebih dari itu lagi hingga menjalar ke tempat-tempat suci kita, semoga Allah tidak membenarkannya.

Setelah setahun berlakunya penaklukan ke atas Mosul, kita melihat peningkatan kemampuan mereka sekarang ini dari segi kelengkapan dan bilangan, telah membuatkan mereka berjaya menakluk Ramadi pula. Tambahan pula di Mosul terdapat universiti, makmal-makmal ujikaji dan pakar-pakar. Begitu juga di tempat-tempat yang mereka takluki di Syria. Saya percaya ianya tidak mustahil bahawa mereka mampu memperolehi bahan-bahan bagi menghasilkan bom nuklear, dirty bomb, senjata radiologi atau sinaran. Khususnya apabila mereka memiliki sumber kewangan yang banyak sebagaimana ISIS pada hari ini, dan seterusnya mampu menyerang bandar-bandar kita lainnya. Kumpulan Takfiri ini juga telah menguasai bandar-bandar di Syria seperti Idlib, yang menunjukkan betapa bahayanya mereka. Oleh itu, saya mengatakan bahawa waktu memainkan peranan yang mustahak buat kita menghancurkan mereka dengan pantas, kerana kewujudan kita dan tempat-tempat suci kita sedang diancam dengan bahaya yang sebenar dan berlaku di alam realiti.

Saya tidak bermaksud menakutkan sesiapa, maksudnya menakutkan sesiapa dengan kata-kata saya ini…selama-lamanya tidak! Tetapi ini adalah fakta, maksud saya ini fakta yang terbentang di hadapan kita dan menurut anggaran saya kemasukan mereka ke Ramadi adalah peristiwa paling getir yang kita hadapi hari ini. Setiap hari yang berlalu dengan kewujudan mereka di Ramadi membuatkan kita, bandar-bandar kita, penduduk kita dan tempat-tempat suci kita semakin terdedah kepada bahaya besar ini. Inilah penilaian saya secara umum terhadap situasi yang berlaku di rantau ini sekarang.

Manakala peranan saya dan apa yang boleh saya lakukan: sejak bertahun-tahun lamanya saya telah menyeru agar dibentuk pasukan bersenjata bagi memerangi mereka, bejihad melawan mereka dan mempertahankan diri daripada ancaman bahaya mereka ini sebelum terlambat. Malah saya juga telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan khusus berkaitan perkara ini.

Hari ini, kami telah mula membentuk Briged al Qoim bagi mempertahankan tempat-tempat suci, tanah air dan kehormatan kami, serta menyeru orang ramai khususnya syiah Ahlulbait (as) untuk menyertai, membantu dan bersatu bersamanya. Ini adalah tentera Imam kalian, maka bantulah ia dan janganlah kalian berlengah-lengah kerana tujuan utama kita adalah menjauhkan penjenayah-penjenayah ini sejauh mungkin daripada tempat-tempat suci, penduduk dan tanah air kita, serta sekaligus menghambat mereka keluar dari bumi Iraq.

Manakala berkenaan denganmesej saya khusus buat pemerintah-pemerintah, saya tidak yakin bahawa pemerintah-pemerintah ini mendengar, maksudnya mereka ini tidak lagi mampu dan berdaya untuk mendengar! Mesej saya kepada kerajaan Iraq: kalian perlu mengadakan buat kami kem-kem latihan dan membuka ruang kepada kami untuk memerangi para penyerbu dan penakluk yang menakluk bumi kami, serta ingin menodai tempat-tempat suci kami. Sebagaimana mereka telah melakukan penodaan terhadap tempat-tempat suci ini, bilamana mereka menghancurkan makam al Askarayn (pent: makam Imam Ali al Hadi dan makam Imam Hassan al Askari) di Samarra sebelum ini. Sekiranya kerajaan Iraq tidak menjawab tuntutan ini, maka saya nyatakan kepada Briged al Qoim: Jadilah kalian orang yang bersedia dengan kelengkapan dan siap siaga tubuh badan, kemahiran serta emosi untuk mempertahankan diri dan berperang, kerana mereka semua akan tewas berhadapan dengan ISIS, sebagaimana mereka telah tewas dan telah menyerahkan Ramadi kepada ISIS tidak berapa lama dulu!

Bandar-bandar kamu, tempat-tempat suci kamu dan kehormatan kamu dalam bahaya yang sebenar dan benar-benar berlaku di alam realiti.

Juga berkenaan dengan undang-undang pengampunan am di Iraq pada hari ini, kami menuntut kerajaan Iraq supaya membebaskan ansar-ansar Imam Mahdi yang ditahan dan khususnya buat mereka yang dijatuhkan hukuman bunuh. Ansar Imam Mahdi bukanlah pengganas dan penjenayah. Adalah tidak masuk akal dan tidak logik menghukum berpuluh-puluh individu dengan hukuman bunuh disebabkan pertempuran yang berlaku pada tahun 2008, sedangkan hukuman bunuh mengikut undang-undang yang ada di setiap pelusuk bumi memerlukan pembuktian tanpa wujudnya keraguan. Mestilah dibuktikan tanpa wujud keraguan terhadap jenayah yang diwajibkan hukuman bunuh padanya. Perlu dibuktikan bahawa mereka telah membunuh? Bagaimana seorang hakim boleh menjatuhkan hukuman ke atas berpuluh-puluh individu hanya dalam satu sidang penghakiman sahaja? Bagaimana dapat dibuktikan bahawa kesemua mereka ini melakukan pembunuhan dalam satu sidang penghakiman sahaja untuk dijatuhkan hukuman bunuh? Seorang hakim sahaja menjatuhkan hukum? Ianya tidak masuk akal hattakan jika beberapa orang hakim menjatuhkan hukuman bunuh ke atas sebilangan individu dengan hanya sekali sidang penghakiman! Inikan pula seorang sahaja! Mereka melakukan perlawanan disebabkan adanya kekerasan terlebih dahulu dan berlakunya pertempuran senjata membuta tuli. Ini mengingatkan saya tentang mahkamah revolusi di era Saddam, malah kalian tiada bezanya?

Seterusnya peristiwa yang berlaku pada tahun 2008 adalah disebabkan serangan berulangkali oleh kumpulan-kumpulan berpengaruh terhadap ansar Imam Mahdi pada waktu itu. Mungkin juga bagi mana-mana individu dalam kerajaan semasa Iraq yang serius mahu memperbetulkan keadaan, dapat menjalankan penyiasatan dan pencarian semula untuk melihat berapa kalikah serangan dan penganiayaan yang telah dlakukan oleh beberapa kumpulan yang berkuasa dan mempunyai pengaruh terhadap kami ketika itu. Antaranya serangan gan penutupan ke atas Hauzah Imam Mahdi dan Pejabat Rasmi di Najaf pada awal tahun 2007, sekaligus penangkapan ke atas Syed Hassan al Hamami dan pelajar-pelajar hauza Imam Mahdi tanpa sebarang alasan undang-undang, dan pembebasan mereka tidak lama selepas itu. Bangunan mereka iaitu bangunan hauzah Imam Mahdi dan juga pejabat rasmi masih lagi belum dipulangkan, malah ianya dirampas tanpa sebarang alasan undang-undang sehinggalah tamat tempoh sewaan. Ini bukanlah satu-satunya peristiwa, tetapi berlaku sewenang-wenangnya dengan cara yang sama berulangkali. Penutupan pejabat, penangkapan Syed al Hamami dan pelajar-pelajar hauzah tanpa sebarang alasan yang hak sehinggalah berlaku peristiwa pada tahun 2008!

Oleh itu, saya menyeru supaya mereka membebaskan para ansar Imam Mahdi yang dipenjarakan, mereka adalah orang-orang yang dizalimi…bebaskanlah mereka!

Tiada apa lagi hendak saya katakan…mikrofon buat kalian.

Prof Amili:

Allah berselawat ke atas Muhammad dan Keluarga Muhammad, para Imam dan pra Mahdiyyin. Semoga Allah memanjangkan umur mawla kami Yamani Keluarga Muhammad dan semoga Allah memanjangkan umur tetamu-tetamu tuan.

Terdapat soalan berkaitan dengan Briged Al-Qoim yang dibentuk akhir-akhir ini dan soalan ini terdiri daripada dua bahagian:

Pertama: kami perhatikan terdapat serangan ke atas Briged al-qoim sejak dari awal seruan sehinggalah kepada pembentukannya. Terdapat kempen untuk meraguinya dan juga meragui individu-individu yang terlibat dengannya, serta tujuan-tujuan penubuhannya. Memandangkan semua rakyat Iraq dan bukan Iraq telah pun melibatkan diri dalam peperangan melawan kafir ISIS ini. Soalannya: Adakah kempen memburuk-burukan Briged al Qoim ini terlepas dan terhasil daripada salah faham atau ianya lebih besar dari itu?

Kedua: Kami perhatikan wujud berpuluh-puluh ribu dari elemen pasukan mobilisasi rakyat yang menentang ISIS, sedangkan mereka tidak mampu menumpaskannya. Soalan yang semulajadi dan logik: Apakah impak yang dapat dihasilkan oleh Briged al-Qoim dengan jumlah mereka yang sedikit dan juga kesudahan gerakan ini?
Dipersilakan tuan...

Imam (as):

Ya Allah. Kalian dapat mendengar suara saya dengan jelas, in sya Allah. Segala pujian hanya bagi Allah.

Ya, berkenaan Briged al Qoim telah saya isytiharkan dengan jelas tujuan pembentukannya di dalam laman facebook. Pembentukannya adalah bertujuan untuk mempertahankan tempat-tempat suci, negeri dan kehormatannya. Manakala tentangan terhadap Brigen al Qoim, walaupun wujud ianya tidak sedikit pun memberi kesan dan melengahkan saya. Maksudnya, sebarang penentangan itu tidak sedikitpun memberi kesan dan melengahkan saya. Secara peribadi sehingga ke hari ini, saya belum lagi mendapati seorang pun yang berbaloi di sudut sosial, politik, ketenteraan atau pemimpin pasukan mobilisasi rakyat yang secara terang-terangan menentang pembentukan Briged al Qoim. Sebaliknya menerusi berita-berita disampaikan kepada saya oleh pejabat rasmi dan para mukmin, bahawa di sana terdapat sambutan dari pelbagai pihak iaitu dari ketua-ketua tentera, kerajaan-kerajaan tempatan, pemimpin-pemimpin kebanyakan wilayah di Iraq dan ketua-ketua di dalam pasukan mobilisasi rakyat, sehingga ke tahap tiada siapa yang menghalang pembentukan Briged al-Qoim . Secara peribadi saya telah meminta Pejabat Rasmi agar berhubungan dengan individu-individu politik dan ketenteraan di Iraq untuk memaklumkan mereka tentang tujuan pembentukan Briged al Qoim. Jika sekiranya keadaan saya secara peribadi membenarkan, nescaya saya sendiri telah berhubungan dengan mereka. Kami telah mengadakan perhubungan ini supaya tiada sebarang ruang buat orang-orang yang berpenyakit dapat mengelirukan keadaan. Di sana terdapat ancaman bahaya terhadap kita semua…sunni, syiah dan juga kristian..Terdapat ancaman bahaya terhadap setiap pengikut Ahlulbait tanpa perlu memandang kepada kepercayaan dan kecenderungan mereka. Ancaman terhadap makam-makam Imam kami dan kehormatan-kehormatan kami…bumi Iraq yang mulia ini diberkati dan disucikan oleh makam-makam Imam dan para anbiya (as). Bahaya ini telah pun sampai ke perbatasan Baghdad yang terdapat makam Musa bin Jaafar, Karbala yang terdapat makam Hussein bin Ali dan Najaf yang terdapat makam Ali bin Abu Talib (as). Oleh itu, kami telah dipaksa untuk bergerak dan membentuk Briged al Qoim, maka biarlah mereka terus marah.

Secara umumnya saya percaya bahawa mereka yang marah dan menentang Briged al Qoim ini adalah golongan yang sedikit. Penentangan mereka ini tiada nilainya dan tiada siapa pun yang mempedulikannya. Setiap orang yang berakal pasti memahami dengan jelas bahawa mereka ini sebenarnya berkhidmat kepada ISIS samada mereka tahu dan sedar. Ataupun bodoh, jahil, lemah pemikiran dan kesedaran mereka terhadap apa berlaku di lapangan realiti.

Wahai saudara-saudara yang dikasihi dalam Briged al Qoim, saya tujukankan kepada kalian: Wahai saudara-saudara yang dikasihi dalam Briged al-Qoim, siapakah yang telah menyerah kalah kepada tentangan sehingga kamu ingin menyerah? Allah SWT tidak sesekali menyerah, walaupun kamu dapati para atheis tetap menentang serta mempersendanya! Kalian ingin kami menyerah kalah, sedangkan kalianlah yang menentang orang-orang bodoh yang menjadi hamba ISIS? Saya percaya inilah harga yang sentiasa wajib kami bayar dalam setiap langkah yang kami ambil untuk hidup di sisi Allah SWT.

Saya suka untuk menenangkan mana-mana kelompok yang bertentang pegangan dengan kami bahawa manhaj kami adalah manhaj khalifah-khalifah Allah, manhaj Muhammad (saws), manhaj Ali. Muhammad tidak menakluk kota Madinah dengan kekuatan tentera dan baginda sesungguhnya menyeru manusia kepada Ketuanan Allah. Apabila penduduk Madinah menerimanya, barulah baginda berpindah ke Madinah. Begitu juga Ali (as), beliau telah dilantik oleh Rasulullah (saws). Apabila beliau mendapati dirinya keseorangan bersama pembantunya yang sedikit, maka beliau telah mengasingkan diri di rumahnya sehinggalah orang ramai merujuk semula kepadanya dan menerima perlantikannya, barulah beliau menegakkan urusannya.

Kami juga begitu…jangan ada seorang pun yang menggambarkan bahawa kami ingin membentuk kekuatan tentera untuk mengerah orang ramai supaya menerima Ahmad Al Hassan dengan paksaan! Ini bukanlah manhaj dan jalan kami selama-lamanya. Jalan kami adalah terang sejak dari awal dakwah dan telah berulang kali saya sebutkan bahawa Allah yang melantik khalifahNya di muka bumiNya dan seorang khalifah Allah itu akan melampirkan bukti-bukti atas perlantikannya. Umat manusia wajib menerima perlantikannya. Jika sekiranya mereka menolak perlantikan Allah ini, maka mereka telah kehilangan nasib mereka di dunia dan di akhirat. Manakala bagi khalifah Allah, penolakan mereka ini langsung tidak memberi kesan kepada dirinya. Dia boleh sahaja berada di rumahnya sepertimana Ali berada di rumahnya selama 25 tahun.

Ini jawapan khusus berkenaan diri saya. Manakala soalan kamu berkenaan impak dan juga apa yang dilakukan oleh pasukan mobilisasi rakyat. Saya percaya pasukan mobilisasi rakyat dan tentera Iraq telah melakukan perngorbanan dan telah menumpahkan darah mereka bagi melindungi tempat-tempat suci, negara dan juga kehormatan Iraq. Kita wajar berterima kasih atas apa yang mereka lakukan tanpa perlu memandang kepada sesetengah pihak yang meragui tentang niat mereka atau hinggakan kepada meragui sesama mereka, maksudnya - kami mendengar sebahagian yang berkata sebegini - dan tanpa perlu memandang hal keadaan mereka samada berjaya mencapai kemenangan atau tidak! Saya berharap kalian sentiasa ingat bahawa ramai saudara-saudara kalian dari kalangan ansar yang beriman lagi suci berada dalam pasukan tentera Iraq pada hari ini. Terdapat sebahagian mereka telah pun syahid di dalam peperangan mempertahankan bumi Iraq yang suci, semoga Allah merahmati mereka dengan keluasan rahmatNya.

Manakala apa yang boleh disumbangkan oleh Briged al Qoim, saya percaya banyak perkara yang boleh disumbangkan oleh Briged al Qoim. Pertamanya, pada hari ini kami mempunyai ribuan sukarelawan di Iraq, maksudnya di dalam Iraq dan begitu juga di luar Iraq. Ada antara mereka pegawai-pegawai tentera dan keluaran dari kolej ketenteraan. Dari sudut neraca material, saya percaya seramai beberapa ribu orang pernah mempunyai pengalaman di medan peperangan hatta. Keduanya, kami mempunyai neraca lain iaitu neraca Allah, kami percaya bahawa Allah bersama-sama kami dan membantu kami ke atas musuh-musuh kami. Oleh itu, kewujudan Briged al Qoim ini dalam menentang ISIS dan kegelapan Wahabi Salafi Takfiri di medan peperangan hari ini, secara umumnya akan memberikan impak yang besar dan ketara di medan, in sya Allah. Rahmat Allah itu luas, in sya Allah.

Tiada apa lagi untuk saya katakan…mikrofon buat kalian.


Prof Amili:

Allah berselawat ke atas Muhammad dan Keluarga Muhammad, para Imam dan para Mahdiyyin.

Semoga Allah memanjangkan umur tuan kami Yamani Keluarga Muhammad. Kami berasa amat bahagia kerana dapat berjumpa tuan. Tuan, kami adalah ansar-ansar dan khadam-khadam tuan, kami tidak akan berkata sepertimana orang-orang Yahudi berkata kepada Nabi Musa (as): “Pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua”, sebaliknya kami akan berkata: kami sentiasa bersedia pada setiap masa menunggu arahan tuan kami, jika tuan mengarahkan kami meminum air laut, nescaya kami akan meminumnya. Dan jika tuan mengarahkan kami supaya mengangkut gunung di atas belakang kami, nescaya kami akan mengangkutnya…kamu perintahkanlah atas kami wahai tuan, nescaya kami patuh pada kamu, wahai tuan kami Ahmad Al Hassan (as).


Terdapat ramai orang di serata dunia yang memberikan wilayah (taatsetia) kepada Muhammad dan Keluarga Muhammad (as), apakah pesanan tuan yang mulia kepada mereka dan kepada setiap muslim yang dibayangi fitnah yang masuk ke dalam setiap rumah mereka, menggambarkan Islam itu adalah agama penumpahan darah dan pengganas pada kacamata orang lain.

Dipersilakan buat tuan…mikrofon buat tuan.

Imam (as):

Ya Allah. kalian dapat mendengar suara saya dengan jelas, in sya Allah.
Secara umumnya pada tahun-tahun kebelakangan ini terdapat perkembangan penting yang sentiasa mengemaskini maklumat-maklumat dalam bidang kemanusiaan, iaitu revolusi maklumat dan betapa mudahnya memperolehi maklumat. Di samping adanya pelbagai saluran yang memudahkan komunikasi sosial antara sesama bangsa manusia. Saluran-saluran ini seterusnya membuka ruang kepada setiap insan melihat kebenaran pada bila-bila masa yang dia mahukan dan putuskan untuk membuat kajian. Tentu sekali tanpa dibelenggu oleh orang yang tidak berakal dan tidak berfikiran waras yang menguasai akal fikirannya dan jalan pemikirannya. Jika tidak, kajiannya hanyalah sia-sia belaka. Maksudnya apabila dia mengkaji sambil ada orang lain yang membelenggu akal fikirannya, maka dia telah menjadikan orang lain itu sebagai belenggu yang mengusai akal fikirannya dan menjadikan kajiannya itu tidak berfaedah. Dia mestilah mengkaji tanpa ada belenggu. Seterusnya saya menyeru setiap manusia khususnya yang berwilayahkan Keluarga Muhammad (as) supaya mengkaji bukti-bukti dakwah Mahdawiyah dengan penuh tenang, tanpa perlu tunduk kepada belenggu sesiapa jua. Harapan saya agar mereka tidak membiarkan orang lain membuat keputusan tentang urusan akhirat mereka sepertimana kami selalu sebutkan di Iraq: "kamu sendiri yang akan tidur di kubur kamu, bukan orang lain”. Oleh itu, tempat rehat kamu di akhirat adalah keredhaan di sisi Allah SWT. Jauhkanlah diri kalian daripada “pengaruh kumpulan”, maksudnya jauhkan diri kalian dari pengaruh kumpulan apabila kalian hendak mencari kebenaran.

Jadilah kalian orang yang bebas dalam membuat keputusan...bilamana kamu berjumpa jalan yang benar, maka bertawakkallah kamu kepada Allah dan tiada keburukan yang menimpa kamu apabila manusia berbuat buruk terhadap kamu. Ikutilah jalan kebenaran dan jangan kamu ikut ke mana sahaja manusia pergi.

Pada hari ini, kami menyeru mereka yang berwilayahkan Keluarga Muhammad (as) supaya membantu dakwah Mahdawiyah yang sebenar ini, supaya Allah melindungi mereka dan juga Islam dari kejahatan orang-orang yang berbuat kerosakan iaitu ISIS dan selain mereka dari gerakan-gerakan takfiri wahabi sufyani. Seterusnya membolehkan kita menyampaikan imej Islam sebenar iaitu imej Islam yang tulen ke setiap pelusuk alam dan bangsa dunia ini di timur dan di barat, in sya Allah.
Tiada apa lagi yang hendak saya katakan, semoga Allah mengganjari kalian dengan kebaikan…mikrofon buat kalian.

Dr. ‘Alaa al Salim:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih buat kamu wahai tuan kami. Sesungguhnya kami telah membuatkan tuan keletihan pada malam yang diberkati ini, tetapi ianya satu hadiah istimewa yang Allah Tabaraka wa Taala berikan kepada kami semua. Sesungguhnya waktu berlalu dengan terlalu cepat dan sudah hampir 50 minit kami bersama tuan. Saya bermohon kepada Allah SWT agar perjumpaan ini dapat diadakan berulangkali dengan kehadiran Yamani Keluarga Muhammad (as).

Tuan-tuan para pendengar sekalian, tinggal dua soalan yang kami ingin tanyakan kepada Syed Ahmad Al Hassan (as). Tuan, soalan pertama adalah berkaitan dengan mesej tuan iaitu mesej sejagat sebagaimana yang tuan lontarkan dan jelaskan secara konsisten selama beberapa tahun ini. Adakah terdapat mesej yang tuan hendak tujukan khusus buat penganut kristian dan yahudi, yang juga mendakwa sedang menunggu kedatangan Penyelamat yang dijanjikan di akhir zaman?
Dipersilakan tuan kami…mikrofon buat tuan.

Imam (as):

Ya Allah. Semoga Allah memanjangkan umur kamu Dr. ‘Alaa. Selamanya kalian tidak pernah melelahkan saya dan saya sedia berkhidmat untuk kalian pada bila-bila masa, in sya Allah. Sesungguhnya saya telah banyak menulis dan mengajukan kepada mereka khususnya penganut kristian. Mereka boleh membaca apa yang telah saya tuliskan sebelum ini di dalam kitab Tauhid, jawapan-jawapan kepada persoalan-persoalan yang disebarkan dalam kitab Pengikut Ketigabelas, Risalah Petunjuk dan lain-lainnya, yang terakhir sekali saya telah menulis dan berdialog tentang banyak perkara berkaitan mereka di dalam kitab Delusi Atheisme. Saya menyeru agar mereka membaca, mengkaji dan mengenal sang Penghibur yang dituntut oleh Isa atau Jesus supaya beriman dengannya dan menerima kebenaran yang dibawanya.

Terdapat satu kumpulan kristian yang dinamakan sebagai Jehovah Witnesses. Kebanyakan penganut kristian tidak mengiktiraf mereka sebagai sebahagian dari penganut kristian, kerana mereka menantikan sang Penghibur yang datang di akhir zaman. Walaubagaimanapun, saya percaya kumpulan ini wajib diberi perhatian dan diusahakan lebih banyak penyampaian dakwah buat mereka. Saya berharap para ansar dapat mengusahakan perkara ini.

Seterusnya nasihat saya buat Ahlus Sunah supaya mengkaji apa yang telah saya tuliskan, nasihat saya tidak terhenti hanya pada penganut kristian sahaja sepertimana permintaan dari Dr. ‘Alaa. Berkaitan dengan Ahlus Sunnah, saya harap mereka dapat membaca apa yang telah saya tuliskan khusus tentang khilafah Allah di muka bumiNya, seterusnya mengkaji bukti-bukti dakwah yang diberkati ini. Sepatutnya mereka beriman dengan Mahdi yang lahir di akhir zaman dan inilah dia dakwah Mahdi bagi umat Nabi Muhammad (saws). Oleh itu, kaji dan telitilah tentangnya sambil membebaskan diri kalian daripada perasaan taksub dan keinginan hawa nafsu.

Seterusnya nasihat saya buat pengikut Salafi Wahabi, sedarlah bahawa akidah-akidah yang dibawakan oleh agama Wahabi tiada kaitannya dengan agama Islam, kerana agama Wahabi didirikan atas penyembahan berhala Hubal yang tinggal di langit dan berhala-berhala langit lainnya. Dengan kata lain agama Wahabi ini terpisah daripada Islam sejak langkah pertama lagi, bila mereka memisahkan antara Tuhan yang disembah dan sifat-sifatNya. Maksudnya mereka mempunyai tuhan mereka sendiri dan kami juga mempunyai Tuhan kami.

Ulama agama Wahabi menyifatkan tuhan mereka yang sebenarnya mempunyai dua tangan dengan lima jari di setiap tangan dan mempunyai dua biji mata sahaja. Begitulah juga halnya pada sifat-sifat tuhan yang lain, mereka menggambarkan kepada kamu satu berhala yang mempunyai rupa bentuk dengan perkataan yang mereka maknakan sendiri dan mengatakan ia wujud di langit. Ini tiada kena mengena dengan Islam. Sesiapa jua yang mahukan kebenaran, bolehlah merujuk kata-kata ulama mereka sendiri, yang sebahagiannya telah saya sebutkan dalam kitab Tauhid. Oleh itu, saya menyeru kepada orang awam mereka dan orang-orang yang terpedaya dengan agama Wahabi ini supaya bertaubat dan kembali mengiktiraf Tuhan agama Islam Yang Suci daripada keberhalaan dan penjisiman yang tiada kena mengena dengan Dia SWT, dan Dia pasti tidak membenarkan hal keadaan yang sedemikian buat DiriNya.

Seterusnya saya juga menyeru ulama sunni dan syiah supaya membaca apa yang telah saya kemukakan dalam perkara-perkara akidah, sepertimana dalam perbahasan terakhir saya mengenai ayat kesempurnaan agama (Ikmaluddin). Tidak sepatutnya seorang insan yang berakal itu menutup matanya setelahmana akidahnya dibatalkan sepenuhnya secara ilmiah dan muhkam.

Semoga Allah mengganjari kalian dengan kebaikan, Dr ‘Alaa dan yang dikasih Ali Amili. Saya tiada apa-apa lagi hendak diperkatakan berkenaan hal ini….mikrofon buat kalian.

Prof Amili:

Allah berselawat ke atas Muhammad dan Keluarga Muhammad, para Imam dan para Mahdiyyin. Semoga Allah memanjangkan umur tuan kami Yamani Keluarga Muhammad (as). Tuan, kata-kata tuan adalah ubat bagi roh. Semoga ALlah membantu tuan mengatasi musuh-musuh tuan. Tuan, kami berharap supaya program ini tidak tamat kerana kami berasa sangat bahagia dengan kehadiran tuan bersama kami, namun kami perlu menamatkannya dan semoga ianya tidak menjadi pertemuan yang terakhir, in sya Allah.

Soalan terakhir buat tuan, apakah nasihat tuan buat para ansar amnya dan buat mereka yang bergabung menjadi sukarelawan di dalam Briged Al-Qoim khususnya?

Dipersilakan buat tuan kami…mikrofon buat tuan.

Imam (as):

Ya Allah. Pertamanya saya tujukan nasihat buat para ansar. Umumnya para mukmin lelaki dan wanita, semoga Allah memelihara mereka, tidak pernah berasa kekurangan dalam melakukan kerja siang dan malam, menyerukan umat manusia kepada kebenaran dan menepis keraguan-keraguan dengan pelbagai saluran, semoga Allah mengganjari mereka dengan kebaikan. Mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh dan gigih sekali, semoga Allah merezekikan mereka dengan kebaikan di dunia dan di akhirat atas apa yang telah mereka usahakan dengan bersungguh-sungguh dan bebanan yang mereka tanggung. Saya menyeru dan menasihati mereka yang berasa kekurangan dari kalangan lelaki dan wanita supaya mengikut jejak langkah saudara-saudari mereka untuk tidak berasa kekurangan dari sudut jihad harta benda, jihad nafs, pembelajaran dan penyampaian kebenaran kepada manusia. Ia adalah peluang bagi orang-orang yang yakin. Peluang ini akan berlalu pergi sepertimana awan berlalu, oleh itu rebutlah peluang ini.

Manakala nasihat khusus buat mereka yang dikasihi di dalam Briged Al-Qoim. Pembentukan Briged Al-Qoim dengan izin Allah adalah pencetus kebaikan dan jalan buat kalian orang-orang mukmin bagi mencapai kebaikan seluruhnya, iaitu jihad di bawah panji Khalifah Allah di bumiNya. Demi Allah, hanya orang-orang yang sabar sahaja yang menyertai briged ini dan orang-orang yang beruntung sahaja yang tetap kekal bergabung di dalamnya. Saya memohon kepada Allah agar menjadikan kalian ahli-ahlinya, wahai orang-orang yang dikasihi di dalam Briged Al-Qoim. Keputusan kalian pada hari ini dan peperangan kalian melawan para penyeleweng dan perosak wahabi takfiri di muka bumi ini adalah keputusan yang tepat, bukan sahaja dari pertimbangan agama tetapi juga pertimbangan kemanusiaan dan moral. Oleh itu, peperangan kalian melawan mereka ini adalah kewajipan moral bagi menyelamatkan bumi dan juga manusia keseluruhannya dari kejahatan-kejahatan mereka. Saya memohon kepada Allah agar memelihara kalian dari depan, belakang, atas dan bawah, serta melingkungi kalian dengan peliharaanNya. Saya juga memohon kepada Allah agar membantu kalian, memenangkan kalian dengan kemenangan yang mulia dan memberikan pembukaan yang mudah buat kalian. Dia lah Penolongku dan Dia lah juga Yang menjadi penolong orang-orang soleh.

Ya Allah. Saya sudah selesai menjawab dan tiada apa lagi yang hendak saya perkatakan sekarang. In sya Allah, saya akan berada di dalam ruangan ini selama beberapa minit dan terpaksa pergi selepas itu. Jadi saya mohon maaf terlebih dahulu. Saya terpaksa pergi tanpa dapat mendengar pandangan kalian yang mulia.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…mikrofon buat kalian.

Prof Amili:

Allah berselawat ke atas Muhammad dan Keluarga Muhammad, para Imam dan para Mahdiyyin. Terima kasih maulaku. Terima kasih tuan kami. Terima kasih Qoim Keluarga Muhammad (as). Warga kerja program Realiti Semasa mengucapkan terima kasih kepada Syed Ahmad Al Hassan (as) atas kesudiannya menerima jemputan kami. Semoga Allah menetapkan kami di atas wilayah tuan. Kami mengucapkan terima kasih buat Dr. ‘Alaa Al Salim atas usahanya, kerjasama semua ikhwah dalam membantu kami, para ansar yang hadir dan tetamu-tetamu yang menjadi tuan rumah kepada Imam Ahmad Al Hassan (as).

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.





Tiada ulasan: