Ahad, 24 Oktober 2021

Bab 5: Keperluan Kepada Doktrin Juru Penyelamat Yang Dinantikan

Ketuanan Allah Bukan Ketuanan Manusia  


KEPERLUAN KEPADA JURU PENYELAMAT YANG DINANTIKAN

 

1 - Agama:

                   

A) ALLAH SWT BERFIRMAN:

 

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

 

[Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.] (Adh-Dhariyat 51:56)

 

Di dalam riwayat Ahlulbait as menyebutkan supaya mereka mengenalKu. Peranan utama Juru Penyelamat yang dinantikan adalah untuk mengenalkan Allah swt kepada manusia dan menunjukkan mereka jalan kepada Allah. Beliau adalah bukti Allah dan hujahNya ke atas hamba-hambaNya.

 

B) RASUL-RASUL AS:

 

Peranan kedua Juru Penyelamat yang dinanti-nantikan adalah untuk memperkenalkan rasul-rasul kepada manusia dan menjelaskan penindasan terhadap mereka. Bahawa mereka adalah Khalifah-khalifah Allah di muka bumiNya yang dihalang hak mereka dan dibenci warisan mereka.

 

C) RISALAH-RISALAH:

 

Peranan ketiga Juru Penyelamat yang dinantikan adalah memperkenalkan risalah-risalah langit dan syariat Allah kepada manusia. Menghapuskan penyelewengan dan kepalsuan daripadanya, sekaligus menyatakan kebenaran, akidah dan Syariat yang diredhai oleh Allah swt.

 

Kesimpulannya, perkara terpenting yang dibawa oleh juru penyelamat yang dinantikan untuk mereformasi agama adalah ilmu, pengetahuan (makrifat) dan hikmah (dan diajarkan mereka al kitab dan al Hikmah). Telah disebutkan di dalam hadis daripada Imam Sadiq as: “Ilmu itu adalah 27 huruf, keseluruhan apa yang dibawa olehnya Rasul-rasul adalah 2 huruf. Sehingga ke hari ini manusia tidak mengetahui melainkan 2 huruf tersebut. Apabila Qoim kami bangkit, dia akan mengeluarkan lagi 25 huruf lalu menyebarkannya pada manusia dan mencantumkannya lagi 2 huruf sehinggalah dia menyebarkan kesemua 27 huruf.”Mukhtasar Bashair Ad Darajaat, ms 117. Bihar Al Anwar, jilid 52, ms 336

 

2 - Dunia:

Juru penyelamat yang dinantikan sebagaimana yang dinyatakan oleh semua agama samawi adalah seorang yang akan memenuhkan bumi dengan kesaksamaan dan keadilan, setelah ianya dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Hadis ini adalah sangat masyhur di sisi umat Islam dan ia disebutkan oleh Rasulullah SAW serta Ahlulbaitnya AS. Ianya telah diriwayatkan oleh kedua-dua kelompok Sunni dan Syiah.[1]

 

Seterusnya, apakah perkara yang terkandung di dalam Ketuanan Allah sehingga menjadi sebab untuk memenuhkan bumi dengan keadilan dan kesaksamaan? Sebelum saya membahaskan topik yang amat penting ini, saya ingin menjelaskan perkara yang tidak kurang pentingnya, bahkan amat perlu untuk membahaskan topik ini. Sesungguhnya, kita sebagai Shiah Islam dan berdasarkan kenyataan daripada Rasulullah SAW serta Ahlulbaitnya berkenaan tanda-tanda kemunculan dan kebangkitan Juru Penyelamat yang dinantikan, bersetuju bahawa hari ini adalah hari-hari kemunculan dan kebangkitan beliau AS. Kami sememangnya tidak pernah mempedulikan orang yang berusaha membuta-tuli dan tidak pernah melihat riwayat-riwayat. Tambahan pula, orang-orang Kristian di seluruh dunia juga menganggap hari ini sebagai hari-hari kemunculan dan kebangkitan juru Penyelamat yang dinantikan di sisi mereka iaitu Isa AS. Malah, saya telah membaca sebuah buku yang ditulis oleh seorang paderi Kristian yang hidup di pertengahan kurun lalu, yang menganggap bahawa tanda-tanda bagi kemunculan dan Kiamat kecil telah pun bermula di Alam Malakut.

 

Manakala, bagi orang-orang Yahudi pula, mereka menganggap hari ini sebagai hari kiamat kecil. Malah, kebanyakan pendeta mereka mengesahkan bahawa hari ini adalah hari-hari kembalinya Ilya AS dan kemunculan Juru Penyelamat alam. Tidak beberapa lama dahulu, sekumpulan mereka telah menyebarkan risalah yang dibuang dari kapal terbang kepada umat Islam di Palestin, menuntut supaya mereka meninggalkan tanah suci kerana masa telah tiba untuk kiamat kecil. Sesungguhnya hari ini adalah hari-hari terakhir dan setelah itu tidak akan tinggal di dalam tanah suci melainkan orang-orang yang soleh. Menurut kepercayaan Yahudi, mereka adalah orang-orang yang soleh.

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa semua penganut-penganut agama yang berpegang dengan apa yang disebut atau dibenarkan dalam kitab-kitab mereka oleh nabi-nabi as. Kesemuanya mengakui bahawa inilah hari kiamat kecil dan kemunculan Juru Penyelamat Dunia yang dinantikan AS. Sekiranya, hari ini adalah hari kemunculannya serta dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan dan kesaksamaan setelah sebelumnya ianya dipenuhi dengan kezaliman dan ketidakadilan, maka jelaslah bagi kita bahawa bumi pada hari ini sememangnya dipenuhi dengan ketidakadilan dan penindasan.

 

Di sini timbul dua persoalan:

 

Telah diriwayatkan dari jalan Syiah: Daripada Abu Bashir, daripada As Sadiq Ja’afar bin Muhammad, daripada bapa-bapanya AS, telah berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Mahdi adalah daripada anak keturunanku, namanya adalah namaku, gelarannya adalah gelaranku, rupa dan akhlaknya paling menyerupaiku di kalangan manusia, baginya akan terjadi keghaiban dan kehairanan sehingga manusia tersesat daripada agama-agama mereka, dan di ketika itu dia disambut bagaikan bintang yang terang benderang, yang akan memenuhkan bumi dengan kesaksamaan dan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan.” Al Imamah wa At Tabshirah: ms 119.

 

Pertama: Dengan apa dunia dipenuhi dengan kezaliman dan ketidakadilan? Jawapan kepada soalan ini telah dijelaskan sebelum ini dan saya akan menjelaskannya lagi kemudian nanti.

 

Kedua: Dengan apa dunia akan dipenuhi dengan kesaksamaan dan keadilan? Inilah perkara yang saya hendak mula menjelaskannya, sambil menggariskan sebahagian perkara yang terkandung di dalam Ketuanan Allah swt yang menjadi sebab musabab untuk mengisi bumi dengan keadilan.

 

1 - Undang-undang (Perlembagaan umum dan lain-lain):

 

Allah jualah yang menetapkan undang-undang dan Dia adalah Pencipta dunia ini serta segala yang terkandung di dalamnya. Dia mengetahui apa yang terbaik buat penduduk dan hidupan dunia ini dari kalangan manusia, jin, haiwan, tumbuhan dan makhluk-makhluk lain samada yang kita kenal ataupun tidak. Dia juga Mengetahui masa lalu, masa kini dan masa depan. Mengetahui apa yang baik untuk tubuh badan dan jiwa manusia, serta apa yang terbaik buat bangsa manusia secara keseluruhannya. Maka, undang-undang itu wajib menjaga masa lalu, masa kini, masa depan, tubuh badan, jiwa manusia, kepentingan individu, kepentingan masyarakat dan kepentingan makhluk lainnya. Bahkan Undang-undang ini juga wajib menjaga hattakan objek-objek tidak bernyawa (jamad) seperti tanah, air, alam sekitar dan lain-lain.

 

Oleh itu, mampukah selain daripada Allah untuk mengetahui semua butiran ini secara terperinci, sedangkan kebanyakan daripadanya adalah ghaib daripada jangkauan dan pengetahuan makhluk, yang bermakna tidak mungkin bagi kita mengetahui dan mengenali sifat-sifatnya serta lain-lain lagi.

 

Walaupun, kita menetapkan bahawa ada seorang yang mampu mengetahui semua butiran ini, maka bagaimanakah dia mampu menggubal undang-undang yang menjaga semua perincian ini, kerana sesetengahnya saling bercanggah antara satu sama lain di alam realiti, maka di manakah kebaikannya? Dan apakah sumber penggubalannya?

 

Sudah tentunya ianya tidak akan berlaku melainkan dengan undang-undang Allah dan syariat dari langit, kerana yang menggubalnya adalah Pencipta segala makhluk. Dia mengetahui segala rahsia yang tersembunyi. Dia mampu melaksanakan setiap perkara sebagaimana yang dikehendakiNya dan Dia Maha Suci lagi Maha Tinggi daripada sesuatu yang mereka sekutui.

 

2 - Raja atau Pemerintah:

 

Tidak dinafikan bahawa kepimpinan, tidak kira apa jua bentuk sekalipun akan memberi kesan secara langsung kepada masyarakat manusia. Samada di bawah ketuanan manusia (diktator atau demokrasi) kerana masyarakat manusia dipaksa untuk mematuhi kepimpinan ini secara semula jadi. Atau di bawah Ketuanan Allah kerana manusia juga diciptakan secara semula jadinya untuk mengikuti pemimpin tertentu yang dilantik oleh Allah SWT.

 

فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفً۬اۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡہَاۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ

 

[Tetaplah atas] fithrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fithrah itu. Tidak ada perubahan pada fithrah Allah. [Itulah] agama yang lurus.] Surah Ar-Rum 30 : 30

 

Pemimpin ini adalah wakil Allah dan khalifahNya di muka bumiNya. Apabila wakil Allah tersingkir daripada haknya dan cerminan fitrah manusia menjadi berserabut dengan kegelapan hidup di dunia ini, maka manusia akan menerima apa jua kepimpinan sebagai ganti wakil Allah dan hujjahNya ke atas hamba-hambaNya, untuk mengempang kekurangan yang terdapat di dalam dirinya. Walaupun, kepimpinan gantian ini terbukti menyongsang dan memusuhi wakil Allah di muka bumiNya serta hujjahNya ke atas hamba-hambaNya.

 

Kebiasaannya manusia mematuhi kepimpinan yang digambarkan sebagai pemerintah dan kepimpinan itu tidak akan berlaku melainkan berdasarkan salah satu daripada dua perkara ini. Iaitu berdasarkan wakil Allah dan hujjah-Nya ke atas hamba-hambaNya, yang merupakan pemerintah yang dilantik oleh Allah (SWT), atau orang lain. Samada dia seorang diktator yang mendapat kekuasaan melalui kekerasan dan penindasan, atau pemimpin yang dipilih melalui cara pilihanraya demokratik yang bebas. Pemerintah yang dilantik oleh Allah bertutur bagi pihak Allah kerana dia hanya berkata apa yang diperintahkan kepadanya serta tidak mendahului dan membelakangkan sesuatu melainkan dengan perintah Allah.

 

Manakala, bagi pemerintah yang dilantik oleh manusia atau yang menguasai mereka, dia pastinya tidak bercakap bagi Allah. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: (Barangsiapa yang mematuhi seorang jurucakap, maka dia telah menyembahnya. Oleh itu, jika jurucakap itu sedang menuturkan daripada Allah, maka dia telah menyembah Allah. Dan sekiranya, jurucakap itu menuturkan daripada syaitan, maka dia telah menyembah Syaitan).Al Kafi, jilid 2, ms 434. 'Uyoon Akhbar Ar-Ridha, jilid 2, ms 272

 

Oleh itu, tidak wujud jurucakap ketiga melainkan jurucakap Allah dan jurucakap syaitan. Mana-mana pemerintah selain daripada wakil Allah dan hujjahNya ke atas hamba-hambaNya adalah jurucakap syaitan dalam apa bentuk sekalipun, dan setiap satunya menurut kadar kebatilan yang dibawanya. Dalam hal ini, Ahlulbait AS berkata: (Sesungguhnya setiap panji yang ditegakkan sebelum Qoim adalah panji taghut) iaitu merujuk kepada setiap pemilik panji yang tiada kaitan dengan Qoim as.

 

Oleh itu, pemerintah yang dilantik oleh Allah SWT menuturkan daripada Allah SWT dan pemerintah yang tidak dilantik oleh Allah menuturkan daripada syaitan. Tepat sekali, bahawa jurucakap Allah membawa agama serta dunia ini ke jalan yang benar, dan jurucakap syaitan membawa kerosakan kepada kedua-dua agama dan dunia.

Tambahan pula, Allah mengetahui apa yang ada dalam jiwa-jiwa dan Dia mengetahui orang yang baik dari orang yang buruk. Dia memilih wakil dan khalifahNya, serta mengistimewakan dia daripada umat manusia. Dia tidak menjadikannya melainkan yang terbaik dari kalangan makhlukNya, paling utama, paling baik, paling bijaksana dan paling berpengetahuan di bumi ini. Allah memeliharanya daripada kesilapan dan kesalahan serta meluruskannya untuk melakukan kebaikan dan reformasi.

 

Walau bagaimanapun, jika manusia membantah perlantikan Allah SWT, mereka hanya memilih makhluk Allah yang paling jahat. Bahkan, Nabi Musa AS seorang nabi maksum yang telah memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya, yang dia percaya mereka adalah terbaik. Tetapi kemudiannya ternyata menyedari bahawa kesemua mereka adalah orang yang berbuat kerosakan. Perlu diambil sebagai pengajaran serta peringatan buat orang yang ingat dan sebagai tanda buat mereka yang mempunyai pendengaran dan penglihatan.

 

3 - Undang-undang dan pemerintah di dalam Ketuanan Allah berkekalan mendapat manfaat dengan kesempurnaan dan pemeliharaan (ismah).

 

Kepentingan hal- ehwal semasa rakyat diaturkan dari segi politik, ekonomi dan sosial, kerana semua aspek ini bergantung kepada undang-undang yang mengaturkannya dan pemerintah yang melaksanakannya. Oleh itu, apabila undang-undang yang tertegak adalah daripada Allah, maka aturan atau sistem dalam kesemua aspek ini akan menjadi yang terbaik dan paling sempurna. Apabila pemerintah juga adalah wakil Allah dan hujjah Allah di muka bumi-Nya, serta yang terbaik dari kalangan makhluk-Nya, maka pelaksanaan undang-undang Allah akan menjadi sempurna, lengkap dan mempunyai gambaran yang terbaik.

 

Kesimpulannya, jika ummah menerima ketuanan Allah di muka bumi-Nya, ummah akan mencapai kejayaan dengan sebaik-baiknya dalam agama dan dunia, serta kebahagian anak-anak mereka di dunia dan di akhirat. Jika ummah menerima ketuanan Allah di muka bumiNya, maka akan diangkat naik dari kalangan mereka sebaik-baik perkara yang pernah diangkat naik dari bumi ke langit, iaitu penerimaan kekuasaan wali Allah dan keikhlasan kepadaNya. Dia akan menurunkan ke atas ummah sebaik-sebaik perkara yang pernah diturunkan daripada langit ke bumi iaitu taufik daripada Allah swt. Umat ini juga akan menjadi sebaik-baik umat yang pernah dikeluarkan buat manusia keseluruhannya, kerana ia telah menerima wali Allah dan khalifahNya di muka bumiNya.

 

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡہِم بَرَكَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَـٰهُم بِمَا ڪَانُواْ يَكۡسِبُونَ

 

[Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan [ayat-ayat Kami] itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.] Surah Al A’raaf 7: 96

 

Ummah akan mendapat kelebihan berdasarkan kadar penerimaan mereka terhadap khalifah Allah di muka bumiNya dan kepatuhan mereka terhadap arahan-arahannya. Oleh yang demikian, ummah yang menerima Imam Mahdi AS adalah sebaik-sebaik umat yang pernah dihasilkan buat manusia.

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡڪِتَـٰبِ لَكَانَ خَيۡرً۬ا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَڪۡثَرُهُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ

 

[Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar.] Surah Aali Imran 3:110

 

Mereka adalah 313 sahabat Qoim (Imam Mahdi AS) dan pengikut-pengikut mereka. Namun, sekiranya ummah menolak wakil dan khalifah Allah di muka bumiNya, ia telah melakukan kebodohan yang amat besar dan juga kerugian di dunia serta di akhirat. Iaitu kerendahan dan kehinaan di dunia dan seburuk-buruk tempat di akhirat adalah neraka jahanam.

 

Akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak fikir terdapat orang yang beriman kepada Allah, tetapi dalam masa yang sama meyakini bahawa undang-undang yang digubal oleh manusia adalah lebih baik daripada undang-undang Allah dan pemerintah yang dilantik oleh manusia adalah lebih baik daripada pemerintah yang dilantik oleh Allah swt.

 

Segala puji semata-mata hanya bagi Allah.

 

وَإِذَا رَأَوۡكَ إِن يَتَّخِذُونَكَ إِلَّا هُزُوًا أَهَـٰذَا ٱلَّذِى بَعَثَ ٱللَّهُ رَسُولاً . إِن ڪَادَ لَيُضِلُّنَا عَنۡ ءَالِهَتِنَا لَوۡلَآ أَن صَبَرۡنَا عَلَيۡهَاۚ وَسَوۡفَ يَعۡلَمُونَ حِينَ يَرَوۡنَ ٱلۡعَذَابَ مَنۡ أَضَلُّ سَبِيلاً

 

[Dan apabila mereka melihat kamu, mereka hanyalah menjadikan kamu sebagai ejekan [dengan mengatakan]: "Inikah orangnya yang diutus Allah sebagai Rasul? Sesungguhnya hampirlah ia menyesatkan kita dari sembahan-sembahan kita, seandainya kita tidak sabar [menyembah] nya" Dan mereka kelak akan mengetahui di saat mereka melihat azab, siapa yang paling sesat jalannya.] Surah Al-Furqan 25:41-42

 

Yang berdosa lagi kekurangan,

Ahmad Al-Hasan, Jamadil Awal 1425 Hijrah.

__________________

[1] Telah diriwiyatkan yang demikian itu dari jalan Sunni dan Syiah, saya akan menyebutkan sebahagian apa yang telah diriwayatkan secara ringkas, yang kebanyakannya telah diabaikan. Daripada jalan Sunni adalah apa yang dibawakan daripada Sunan Abi Daud dan lain-lainnya: Daripada Abi Thufail, daripada Ali AS, daripada Nabi SAW, telah bersabda: (Jikalau tidak berbaki masa melainkan satu hari, nescaya Allah akan mengutuskan seorang lelaki daripada Ahlulbaitku yang akan memenuhkannya (bumi) dengan keadilan sebagaimana ianya telah dipenuhi dengan kezaliman). Sunan Abi Daud: jilid 2, ms 310. Diriwayatkan daripada Al Hakim di dalam kitab Al Mustadrak: Daripada Abdullah bin Mas’ud ra, telah berkata: “Kami telah mendatangi Rasulullah SAW, lalu baginda keluar ke arah kami dengan penuh kegembiraan dan terlihat kegembiraan di wajah baginda, oleh itu, setiap apa yang kami tanyakan kepada baginda akan diberitahukannya kepada kami, dan tidaklah baginda mendiamkan kami melainkan kami yang memulakan (perbualan baru) sehinggalah berlalu pemuda-pemuda Bani Hashim yang di kalangan mereka ada Hassan dan Hussain, lantas baginda memeluk mereka apabila terlihat mereka dan mengalirlah air matanya, maka kami berkata: Wahai Rasulullah, kami berterusan melihat di wajah kamu sesuatu yang kami ditegah akannya, lantas baginda menjawab: Sesungguhnya kami Ahlulbait, Allah telah memilih buat kami akhirat berbanding dunia, dan sesungguhnya Ahlulbaitku selepasku akan berhadapan dengan dihalau negeri dan dipencilkan sehinggalah tertegaknya panji hitam daripada timur, mereka meminta yang hak tetapi tidak diberikan kepada mereka, mereka meminta lagi tetapi tidak diberikannya dan seterus meminta lagi tetapi tidak diberikan juga, lalu mereka berperang dan mencapai kemenangan. Maka barangsiapa di antara kalian atau keturunan-keturunan kalian yang mengenalinya, hendaklah kalian mendatangi Imam Ahlulbaitku walaupun terpaksa merangkak di atas salji, kerana ia adalah panji-panji petunjuk yang diserahkan ia kepada seorang lelaki dari Ahlulbaitku, namanya menyamai namaku dan nama bapanya adalah nama bapaku. Dia akan memiliki bumi dan memenuhkannya dengan kesaksamaan dan keadilan sebagaimana ianya telah dipenuhi oleh kezaliman dan penindasan.” Al Mustadrak: Jilid 4, ms 464.

-------------------------

 

Sebelum ||| Tamat

 

Tiada ulasan: