Ahad, 24 Oktober 2021

Bab 2: Apa Itu Demokrasi

 Ketuanan Allah Bukan Ketuanan Manusia


APA ITU DEMOKRASI?

 

Demokrasi adalah kerajaan rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat. Ia direalisasikan melalui pemilihan kuasa eksekutif dan perundangan, yang menetapkan hak-hak dan kewajipan-kewajipan kedua-dua kuasa tersebut. Perlembagaan atau undang-undang am sebahagiannya mungkin berbeza dari satu tempat dengan tempat lain, mengikut nilai-nilai dan tradisi masyarakat. Walaupun ideologi ini adalah sangat tua seperti yang telah dituliskan oleh Plato beribu-ribu tahun lalu, tetapi ia tidak pernah terlaksana dalam dunia realiti atau menghampiri realiti pemikiran yang dilontarkan olehnya, kecuali di Amerika selepas perang pembebasan atau kemerdekaan yang diharungi oleh rakyat Amerika, yang kebanyakannya berbangsa Inggeris dalam menentang penjajah atau negara asal mereka iaitu England.

 

Maka, adalah lebih baik jika kita membiarkan rakyat Amerika sendiri iaitu salah seorang daripada ilmuan demokrasi Amerika, Martin Dodge, untuk menggambarkan kita demokrasi bersumberkan demokrasi moden, ketikamana dia berkata:

 

"Demokrasi diwujudkan kerana manusia mahu hidup bebas ... demokrasi Amerika tidak muncul dengan sendirinya tetapi ia adalah hasil daripada perjuangan dan perlawanan. Ia menjadikan individu-individu, tuan mereka sendiri ... Selain itu, ia memberikan kita banyak peluang .. bahkan meletakkan tanggungjawab ke atas setiap individu masyarakat ... kemudiannya membuka jalan ke arah kemajuan dan kemakmuran yang tidak berkesudahan ..

 

Kemudian menambah ... sistem yang kita telusuri di Amerika adalah berasal dari teras doktrin demokrasi yang tidak berkembang di bawah sistem lainnya. Oleh itu, kita cenderung untuk menerima kesahihannya. Kita terlupa bahawa demokrasi mengambil masa yang lama untuk dibentuk dan hanya dicapai sepenuhnya setelah perjuangan selama beratus-ratus tahun. Ia akhirnya sampai kepada kita kerana kita telah bertekad untuk hidup bebas dan kerana kita benci didorong sepertimana kelompok-kelompok haiwan ternakan dari satu tempat ke tempat lainnya.

 

Pemikiran demokrasi lahir apabila manusia mahu memerintah sendiri tanpa menjadi subjek yang tunduk diperhambakan kerana mereka berada di tempat pertama dan teratas, yang kemudiannya diikuti oleh pihak berkuasa yang memerintah.

 

Di bawah sistem demokratik, masyarakat memerintah sendiri dan meletakkan rakyat di tempat teratas.

 

Bagi pihak berkuasa, ini adalah amat berbahaya apabila kita meletakkan mereka pada kedudukan ini. Jika kita menjejaki pemikiran ini dalam sejarah manusia, kita akan mendapati bahawa ia tidak pernah wujud secara mutlak. Ini kerana manusia diperintah oleh raja-raja, maharaja atau diktator yang memberikan rakyat mereka sedikit hak dan keistimewaan individu yang tidak bernilai. Mereka, iaitu rakyat tidak mempunyai suara atau perwakilan dalam kerajaan yang sedia ada serta tidak mempunyai sebarang penghormatan, imuniti, atau perlindungan.

 

Malah mereka diwajibkan membayar cukai yang tinggi, ditangkap atau dihukum mati hanya kerana satu isyarat atau keinginan yang dinyatakan oleh pemerintah.

 

Demokrasi mula ditubuhkan di Greece tetapi akarnya, iaitu elemen paling penting hari ini, pertama kali muncul di England tujuh abad yang lalu, apabila Raja John menandatangani Perlembagaan (Magna Carta) pada 1215. Namun, beliau benar-benar tidak menyukainya kerana merasakan ianya melibatkan penyerahan dan pengiktirafan terhadap kuasa lain untuk memerintah di sisinya dengan kekuasaan penuh.

 

Sememangnya ketua-ketua Negara dan anggota-anggota badan pemerintah enggan menyerahkan pangkat kebesaran dan kekuasaan yang mereka miliki. Malah, berpegang teguh padanya kerana takut kehilangan kuasa mereka. Sebaliknya, Demokrasi pula menetapkan bahawa kekuasaan perlu berada di tangan rakyat.

 

Sejak menandatangani Magna Carta, England telah menyaksikan peristiwa silih berganti yang berlangsung selama hampir empat abad. Proses ini adalah amat perlahan, tetapi ia membawa kepada pengesahan sistem berparlimen di sana, apabila Sir Edward Coke berdiri di hadapan Dewan Rakyat pada awal abad ke-17 dengan penuh keberanian yang tidak pernah terjadi sebelumnya, mengumumkan bahawa beberapa perintah diraja adalah tidak mengikut undang-undang serta melanggar Perlembagaan dan tidak sesuai untuk dilaksanakan.

 

Oleh itu, England adalah pendahulu Demokrasi. Walaubagaimanapun, ia tidak memberikan tanah jajahannya Amerika hak keistimewaan yang sama dan berterusan melayan rakyat jajahannya seumpama sekumpulan haiwan ternakan.

 

Sekatan yang dikenakan ke atas negara-negara jajahan itu hanya menyemarakkan lagi perjuangan menuntut kebebasan dan bukan membasminya. Seperti yang kita ketahui, ini adalah sebab utama di sebalik tercetusnya Revolusi Amerika yang mengakibatkan penubuhan negara yang paling berkuasa di dunia moden iaitu Amerika Syarikat. Penubuhannya dikaitkan dengan peneguhan tonggak doktrin demokrasi ketika (Pengisytiharan Kemerdekaan, Perlembagaan dan lampiran berkaitannya yang dikenali sebagai Piagam Hak Asasi Manusia).

 

Kami mengakui bahawa kami belum lagi berupaya untuk menegakkan (Kerajaan Sempurna). Namun demikian, apakah pandangan anda semua terhadap kebahagiaan kami..? Kebebasan kami? Kemajuan dan pencapaian kami? Tahap keselesaan kami? Kemudahan kesihatan serta keselamatan moral dan kewujudan material yang kami perolehi dari sistem demokrasi?

 

Kami paparkan semua ini kepada pembaca agar dapat difikir, dinilai dan dipertimbangkan: Kaedah pemerintahan yang kami ikuti bukanlah kami perolehi secara tidak sengaja, malah ianya adalah hasil daripada usaha yang amat besar.

 

Akhirnya, dia menyudahkan kata-katanya dengan berkata: Dan dalam setiap langkah yang kami ambil, demokrasi membuka laluan buat kami ke arah kemakmuran yang tidak berpenghujung, dengan memudahkan jalan ke arah kehidupan yang indah dan bahagia selama-lamanya bagi setiap pendukungnya, sebagai ganjaran atas usaha mereka sendiri.” (Know Your "isms" Martin Dodge)

 

Setiap pemikir yang adil harus mengakui bahawa doktrin demokrasi telah menewaskan semua doktrin politik yang lain secara intelektual, sebelum ia menewaskan mereka dalam dunia politik  yang sebenar di Eropah serta beberapa negara lain di Amerika Selatan, Asia dan Afrika. Ini kerana semua doktrin tersebut bercabang dari hakikat yang satu iaitu pembolotan kuasa oleh satu kelompok atau individu. Kelompok atau individu serta falsafah ganjil yang dibawanya adalah umpama tuhan-tuhan yang menggubal dan meluluskan undang-undang, serta mewajibkan rakyat untuk mengikutinya tanpa bantahan.

 

Ironinya, kebanyakan rejim pemerintah yang fasis dan diktator pada hari ini mendakwa bahawa mereka adalah demokratik, mengatur referendum, taatsetia atau pilihan raya olok-olok untuk membuktikan bahawa mereka adalah demokratik. Ini adalah bukti terbesar kekalahan semua rejim pemerintah terhadap doktrin demokrasi, yang menjelaskan mengapa mereka mula mendekati, berpura-pura seperti itu, atau sekurang-kurangnya mendakwa berada di atas jalan ini.

 

Hattakan aliran-aliran pemikiran agama pada hari ini juga mula mendekati doktrin demokrasi dan mendakwa mereka juga demokratik. Amat malang sekali, mereka adalah seumpama merpati yang cuba meniru gagak kerana saiznya yang lebih besar, tetapi akhirnya kehilangan identitinya tanpa berjaya menjadi gagak.

 

Pada hari ini, saya tidak melihat doktrin lain mampu mengalahkan demokrasi berdasarkan hujah-hujah yang sah dan dapat melontarkan satu idea yang benar-benar bernas untuk diterima pakai, serta dikategorikan sebagai lawan intelek sebenar bagi demokrasi, selain daripada doktrin Sang Penyelamat yang dinanti-nantikan, yang wujud di dalam agama Yahudi yang diwakili oleh Ilya AS, di dalam agama Kristian yang diwakili oleh Isa(Jesus) AS dan di dalam Islam yang diwakili oleh Al Mahdi AS. Malahan, Sang Penyelamat ini juga disebutkan di dalam agama lain, tanpa menyebutkan individu tersebut secara spesifik.


Sebelum ||| Berikutnya

Tiada ulasan: