Jumaat, 19 Februari 2021

Teori Penciptaan dan Kaedah Saintifik

 


Himpunan Pos Di Laman Facebook Rasmi

Ahmed Alhasan احمد الحسن / 4 Mac 2014:

بسم الله الرحمن الرحيم

                                                                             والحمد لله رب العالمين

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saya mohon kepada Allah agar anda berada dalam keadaan baik dan sihat.

 

Adakah Teori Penciptaan Dapat Diterima Oleh Kaedah Saintifik?

 

Hakikatnya, sesiapa yang mempunyai latar belakang dalam evolusi dan bagaimana ia terjadi secara saintifik, atau telah membaca sebuah buku yang ditulis oleh mana-mana Saintis Evolusi, meneliti respon mereka kepada hujah anti evolusi atau sekurang-kurangnya membaca buku yang ditulis Darwin pada abad ke sembilan belas, di mana Darwin telah pun memberi hujah balas kepada pelbagai hujah anti evolusi, seterusnya meneliti pula hujah mereka yang memanggil diri mereka sebagai Marajik dan para agamawan. mereka didapati bercakap mengenai perkara yang tidak mereka ketahui.

Mereka langsung tidak memahami tentang evolusi, atau bagaimana ia terjadi menurut ahli evolusi. Sebaliknya, mereka memahami evolusi dengan cara yang songsang, dan kemudiannya terus berhujah dalam cara yang sangat cetek dan naif berdasarkan pemahaman yang songsang. Kita juga mendapati mereka mengulangi hujah asal Darwin - yang mana Darwin telah pun membentangkan dan membantah hujah-hujah ini di dalam bukunya - sepertimana mereka telah persembahkan penghujahan yang cetek dalam percubaan mereka untuk menafikan ketepatan prinsip dan kaedah sejarah geologi yang digunakan untuk menentukan umur batuan yang berada di lapisan lebih tua, walaupun ketepatan kaedah-kaedah ini tidak dapat dinafikan.

Mereka berhujah menentang Teori Evolusi, bertanya soalan seperti mengapa khatan pada kanak-kanak tidak diwarisi, dan mengapa mawas yang dilatih berjalan tidak menurunkan sifat tersebut kepada keturunannya. Apabila orang-orang biasa membaca hujah ini, iaitu orang-orang yang tidak tahu apa itu evolusi - maka mereka mungkin akan terpedaya dengannya. Namun bagi mereka yang memahami evolusi dan bagaimana ia berfungsi, hujah-hujah ini adalah hujah dangkal. Sifat yang diwarisi oleh generasi seterusnya adalah sifat yang tertulis dalam pelan genetik organisme tersebut, bukan sifat yang diperolehi, seperti sifat berjalan bagi mawas yang dilatih atau kanak-kanak yang dikhatankan. Ini adalah sangat jelas kepada ahli biologi evolusi.

Di sisi yang lain, sesetengah orang yang menentang Teori Evolusi mengandaikan bahawa Biologi Evolusi menyatakan bahawa organ kompaun dan kompleks seperti mata wujud melalui mutasi tunggal. Darwin sendiri tidak menyebutkan perkara ini, apatah lagi saintis moden. Mereka sepatutnya menyangkal apa yang diajarkan di universiti terkemuka di serata dunia. Universiti-universiti ini tidak mengajarkan bahawa organ kompaun dan kompleks seperti mata terjadi melalui mutasi tunggal, atau malahan, puluhan atau ratusan ribu mutasi.

Hakikatnya mereka ini jahil berkenaan asas Teori Evolusi. Jadi orang-orang ini mempersembahkan versi rosak teori tersebut, dan memberi respon berdasarkan pemahaman rosak mereka. Ini tidak boleh diterima oleh para pembaca buku mereka, dan membuatkan para pembaca ini membuat kesimpulan bahawa para agamawan ini telah ditewaskan oleh teori evolusi dan gerakan ateis, sebuah gerakan yang cuba ditentang oleh agamawan menggunakan teori penciptaan dalam satu peringkat tanpa evolusi. Teori ini bukan sahaja bercanggahan dengan biologi, geologi sejarah dan arkeologi, malahan turut menyanggahi makna literal teks-teks keagamaan. Ini akan dijelaskan apabila kita membincangkan teks-teks keagamaan seperti ayat-ayat Al-Quran, yang dengan jelas menunjukkan penciptaan terjadi dalam banyak peringkat dan melalui evolusi.

Satu soalan sudah memadai untuk meruntuhkan teori penciptaan dalam satu peringkat yang mengecualikan evolusi . Soalannya adalah seperti berikut:

Tiada keraguan lagi, telah terbukti melalui geologi sejarah, apabila lapisan batu itu lebih tua, ia mengandungi organisme yang lebih ringkas, dan apabila lapisan batu itu lebih baharu, ia mengandungi organisme yang lebih berkembang dari lapisan sebelumnya. Isu di sini adalah isu perkembangan: dari bakteria kepada eukaryotes kepada organisme multi-selular, sehingga menjadi ikan purba, kemudian vetebrata dan ikan, seterusnya makhluk amfibia dan haiwan darat dan seterusnya.

Jadi mengapa Allah mencipta makhluk hidup dalam beberapa peringkat serta dalam tempoh masa yang berbeza? Dan pada setiap tempoh masa, Dia menciptakan makhluk yang lebih berkembang dari sebelumnya, sehingga menyebabkan sesiapa yang melihatnya akan mempercayai makhluk tersebut berkembang dari makhluk sebelumnya?

Adakah mereka yang menafikan evolusi mengatakan bahawa Allah mahu menipu kita? Maha suci Tuhan dari perkara tersebut. Adakah mereka mempunyai penjelasan yang logik dan saintifik, selain dari evolusi, untuk menerangkan semua peringkat ini yang berturutan mengikut masa, perkembangan dan kompleksiti?

Sebagai contoh jika kita melihat paus dan dolfin yang sekarang ini tinggal di dalam air, yang dianggap telah berkembang dari mamalia yang hidup di darat, kita akan mendapati - berdasarkan fosil yang telah ditemui setakat ini - sebuah rantaian perantara organisme yang muncul secara berturut-turut dalam tempoh waktu tersebut, setiap satu darinya terpisah selama jutaan tahun.

Mereka bermula sebagai mamalia darat, kemudian perlahan-lahan berkembang untuk tinggal di dalam air. Kita dapati setiap kumpulan berevolusi secara progresif untuk hidup selesa di dalam air, sehingga akhirnya menghasilkan ikan paus. Adakah ada sebarang penjelasan yang logik atau jawaban mengapa Tuhan menciptakan makhluk-makhluk ini dalam tempoh masa secara berturut-turut, sehingga menyebabkan sesiapa yang melihatnya membuat rumusan bahawa ikan paus adalah hasil dari rantaian organisme ini yang muncul secara berturutan dari masa ke semasa, secara progresif ke arah kehidupan dalam air?!

Saya percaya tiada jawaban yang logik melainkan evolusi. Jika tidak, jawaban alternatif yang bercanggahan dengan sains adalah dengan menuduh Allah melakukan semua ini untuk menipu manusia, namun Maha Suci Dia dari semua pertuduhan ini.

Apabila kita melihat ikan paus dan dolfin, kita akan dapati mereka berenang dengan menggerakkan badan mereka ke atas dan bawah dengan cara yang sama mamalia darat berlari. Mereka tidak berenang seperti ikan, yang mana kebanyakan mereka berenang dengan gerakan sisi ke sisi. Apabila kita memerhatikan ikan paus, kita mendapati mereka melahirkan anak dan menyusukan melalui susu yang dihasilkan oleh kelenjar susu, dengan cara yang sama dengan mamalia yang lain.

Kadang-kala penentang evolusi juga terpaksa menggunakan buku tulisan ahli biologi dan ahli genetik yang menentang, atau bersifat kritikal terhadap teori evolusi, tanpa mereka mengetahui bahawa sesetengah dari mereka bukanlah menafikan evolusi, namun sekadar menganggapnya sebagai sebuah proses yang terkawal, atau mereka mempersembahkannya dengan cara yang baru. Sebagai contoh, saintis berselisih tentang bagaimana mekanisme mutasi (kelajuannya, pemberhentiannya dll) memberi kesan kepada kepelbagaian biologikal. Ada perbezaan yang besar antara mereka yang mengatakan:

- Teori evolusi itu benar namun Tuhan mengawal proses tersebut dan

-  Mereka yang mengatakan teori tersebut tidak betul.

Kepercayaan mereka yang sama adalah Tuhan itu wujud, bukan teori evolusi itu salah. Sebagai tambahan, tidak semua kenyataan dari biologis mempunyai nilai saintifik. Seseorang itu tidak sepatutnya hanya sekadar mempersembahkan pendapat, terutamanya pendapat yang diyakini oleh dirinya. Bukti dukungan juga perlu dipersembahkan agar manusia boleh melihat samada ia mempunyai nilai ilmiah, atau ia telah dinafikan secara saintifik, atau isunya telah diselesaikan.

Banyak universiti dan pusat kajian di seluruh dunia yang menggunapakai standard saintifik yang tepat ini dan mempunyai pakar yang menilai kertas-kertas kajian, buku dan pengkritik teori saintifik. Jika sememangnya ada kritikan saintifik yang berharga oleh pakar, universiti dan pusat kajian ini akan segera memakainya, ia akan diterbitkan dan dipromosikan, seminar saintifik akan diadakan untuk membincangkannya.

Bagaimanapun, apa yang kita lihat adalah berlawanan. Hari ini, semua universiti ternama seluruh dunia meyakini teori evolusi adalah satu-satunya penjelasan kewujudan hidupan di bumi. Sesiapa yang mahu mencari kebenaran secara bersendirian dengan menjalankan kajian saintifik sekurang-kurangnya perlu mempunyai ilmu yang memadai dalam geologi sejarah, biologi evolusi, genetik, antropologi dan arkeologi. Mereka kemudiannya perlu membaca kritikan saintifik terhadap teori evolusi dan respon ke atasnya, agar kedudukan menjadi kukuh dan celik secara saintifik.

Bagaimanapun, jika seseorang itu hanya mengatakan ada sesetengah ahli biologi telah memberi jawapan balas terhadap teori evolusi dalam buku tertentu, atau sesetengah saintis telah mengatakan bahawa teori evolusi itu adalah palsu, atau jika seseorang itu merujuki individu yang bukan seorang pakar dalam menilai teori tersebut, maka ini jelas adalah pendirian yang diada-adakan dan tidak saintifik. Apabila anda membaca penilaian saintifik mereka, anda akan mendapati kadang kala mereka kekurangan kredibiliti kerana mereka mempersembahkan teori evolusi dengan cara yang licik, sonsang lalu kemudiannya memberi respon kepadanya (dalam keadaan yang sonsang juga). Seolah-olah respon mereka adalah untuk orang-orang awam yang tidak tahu langsung tentang teori evolusi, dan menjadi alat pemasaran kepada kajian mereka yang tidak signifikan. Tiada asas saintifik untuk respon-respon ini.

Malah respon ini hanya didasarkan kerana hakikat bahawa penulisnya mempunyai ijazah sarjana dalam biologi, atau di dalam bidang yang tidak relevan dengan topik, seperti kosmologi.

Kesimpulannya, sesiapa yang mengatakan mahu membantah teori evolusi tidak sepatutnya mengubahnya atau memutar belitkannya. Dia harus membantah teori ini seperti mana ia dipersembahkan di universiti terkemuka di seluruh dunia hari ini, bukan seperti yang dia bayangkan, atau seperti yang dipersembahkan secara salah oleh penentang teori ini.

Sebuah peringatan: Saya menyedari mereka yang menolak teori evolusi telah mengulangi hujah sama yang telah dibentangkan dan seterusnya telah diberi respon oleh saintis evolusi sendiri. Ini sangat tidak bersesuaian untuk mereka yang mendakwa diri mereka sebagai orang berilmu dan mendakwa telah menafikan teori itu secara saintifik. Mereka patut membaca dan mengenal pasti apa yang telah direspon oleh saintis evolusi terhadap penghujahan mereka, ada yang telah dibentangkan oleh Darwin sendiri pada abad kesembilan belas. Oleh itu, sesiapa yang mengulangi hujah yang sama adalah mereka yang samada:

- Tidak mampu berdiskusi dan menafikan respon dari saintis evolusi kepada hujah-hujah ini, atau,

Beliau tidak membaca apa yang ditulis oleh saintis evolusi, dan tidak tahu bahawa para saintis ini adalah yang pertama membentangkan dan memberi respon terhadap penghujahan ini serta berdozen hujah yang lain.

Apa pun, adalah tidak bersesuaian bagi mereka untuk menulis sesuatu tanpa sebarang ilmu.

 

✡✡ ✡✡ ✡✡

                                          

Sebelum ✡✡ Kandungan ✡✡ Berikutnya

 

Tiada ulasan: