Halaman

Jumaat, 28 Februari 2014

Soalan 121: Adakah Dibenarkan Menggunakan Gelaran Ayatullah Atau Ayatullah Al Uzhma Kepada Selain Maksumin (a.s)?

Adakah Dibenarkan Menggunakan Gelaran Ayatullah Atau Ayatullah Al Uzhma Kepada Selain Maksumin (a.s)?

Soalan 121: Kebanyakan ulama-ulama mutaakhir ini menggunakan gelaran Ayatullah Al Uzhma, apakah yang dimaksudkan dengan Ayatullah Al Uzhma? Adakah ianya dikhususkan kepada Aimmah (a.s) atau kepada umum hingga boleh digelarkan kepada ulama-ulama? 


Jawapan:

﴿قَالَ لَهُمْ مُوسَى وَيْلَكُمْ لا تَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ كَذِباً فَيُسْحِتَكُمْ بِعَذَابٍ وَقَدْ خَابَ مَنِ افْتَرَى﴾

Berkata Musa kepada mereka: "Celakalah kamu, janganlah kamu mengada-adakan kedustaan terhadap Allah, maka Dia membinasakan kamu dengan siksa". Dan sesungguhnya telah merugi orang yang mengada-adakan kedustaan. [Taha: 61] 

Ayat adalah tanda atau bukti yang dinisbahkannya kepada Allah swt, samada melalui jalan penetapan kewujudanNYA ataupun melalui jalan mengenaliNYA swt. 

Adapun melalui jalan penetapan kewujudanNYA swt, maka kesemua makhluk dan kewujudan itu adalah ayat-ayat Allah swt, dan manusia adalah yang paling hebat. Setiap kewujudan itu menunjukkan kepada kewujudan Khaliq iaitu Pencipta kerana ianya diciptakan, dan menunjukkan kepada kewujudan Penjadi kerana ianya dijadikan. Oleh itu, pada manusia itu terdapat paling banyak bukti dan tanda yang menunjukkan kewujudan Pencipta (Khaliq) swt. 

Adapun dari sudut mengenaliNYA SWT, maka Ayat-Ayat Allah itu tidak berlaku melainkan dengan Hujah-HujahNYA swt ke atas makhlukNYA kerana hanya melalui mereka dikenali Allah, mereka adalah keterangan keatasNYA dengan jalan yang sebenar dan keyakinan. Berdasarkan makna ini tetaplah bahawa Aimmah (a.s) adalah Ayat-Ayat Allah. Maka Ayatullah Al Uzhma adalah dikhususkan kepada Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib (a.s) dan Ayatullah pada zaman ini adalah Imam Mahdi (a.s). Bahkan tidak sah untuk menamakan Imam Mahdi Muhammad bin Al Hassan (a.s) dengan gelaran Ayatullah Al Uzhma ini, kerana ianya adalah kelebihan yang dikhususkannya kepada washi di kalangan Awshiya iaitu Ali bin Abu Talib (a.s) yang diibaratkan sebagai makhluk yang paling kenal Allah selepas Muhammad (sawas). 

Manakala para ulama, yang pastinya mereka bukanlah menginginkan makna yang pertama kerana makna pertama meliputi setiap manusia samada mereka baik atau jahat. Bahkan makna pertama adalah melihat kepada jenis makhluk, maka menggunakannya untuk membezakan antara jenis-jenis yang berlainan adalah satu perbuatan yang sia-sia dan tiada manfaat padanya. Oleh itu, mereka pastinya memaksudkan dengan makna yang kedua dan dengan ini mereka telah memasukkan diri mereka ke dalam perkara yang dilarang. Secara mutlaknya menamakan gelaran ini (Ayatullah) kepada selain Aimmah (a.s) adalah haram, malah menamakan Ayatullah Al Uzhma kepada selain Amirul Mukminin adalah juga haram secara mutlak. 

Telah disebutkan di dalam riwayat yang shahih daripada mereka (a.s), yang menamakan Fatimah (a.s) dan Aimmah (a.s) sebagai Ayat Allah. Daripada Imam Kadhim (a.s), daripada bapa-bapanya (a.s), daripada Rasulullah (sawas) telah bersabda: “Aku telah memasuki syurga dan aku melihat ke atas pintunya tertulis dengan tinta emas, Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad kekasih Allah, Ali bin Abi Talib wali Allah, Fatimah Ayat Allah...” [Kanz Al Fawaid, jilid 1, ms 149] 

Daripada Amirul Mukminin (a.s) telah berkata: “Imam adalah kalimah Allah, Hujjah Allah, Wajah Allah, Cahaya Allah, Hijab Allah dan Ayat Allah, yang Allah memilihnya dan menjadikan padanya apa yang Dia kehendaki dan diwajibkan baginya wilayah dan ketaatan ke atas seluruh makhlukNYA. Maka dia adalah waliNYA di langit-langitNYA dan di bumiNYA...” [Bihar Al Anwar, jilid 25, ms 169] 

Diriwayatkan gelaran Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib dengan Ayat Allah Al Uzhma: telah berkata Syeikh Mufeed dan Sayyid Ibnu Tawoos di dalam kitab Iqbal yang diriwayatkan bahawa Jaafar bin Muhammad Al Sadiq (a.s) telah menziarahi makam Amirul Mukmini (a.s) dengan membaca ziarah ini: “...sehingga kepada kata (a.s): Salam ke atas kamu wahai Ayat Allah Al Uzhma...” [Bihar Al Anwar, jilid 97, ms 373][Al Iqbal, ms 608][Mafatih Al Jinan, ms 448] 

Diriwiyatkan daripada Imam Sadiq (a.s) berkaitan larangan dan tegahan menamakan Amirul Mukminin kepada selain Ali bin Abi Talib, ketikamana seorang lelaki bertanya tentang Qaim (a.s) dan memberi salam ke atasnya dengan Amirul Mukminin, telah berkata (a.s): Tidak, itu adalah nama yang Allah namakannya kepada Amirul Mukminin (a.s), tidak sesiapapun pernah dinamakan dengannya sebelum darinya dan tidak juga menamakan dengannya selepas darinya kecuali orang kafir. Aku berkata: Jadikan aku tebusanmu, bagaimana diberi salam ke atasnya? Talah berkata (a.s): mereka berkata Salam ke atas kamu wahai Baqiyyat Allah, setelah itu membacakan: “Baqiyyatullah lebih baik bagi kamu, jika betul kamu orang-orang yang beriman” [Al kafi, jilid 1, ms 411][Hud: 86] 

Telah ditanya Imam Ridha (a.s): mengapa dinamakan Amirul Mukminin (a.s)? telah berkata (a.s): kerana dia memberikan mereka (Yumiruhum) ilmu, adakah kamu tidak mendengar di dalam kitab Allah disebutkan: “dan kami memberikan (Numiru) kepada ahli kami” [Yusuf : 65][Al Kafi, Jilid 1, ms 412] 

Apabila tidak dibenarkan menamakan sesiapapun selepas Ali dengan gelaran Amirul Mukminin melainkan dia kafir, maka apa pula dalil mereka untuk menamakan diri mereka dengan nama yang dikhususkan kepada Amirul Mukminin iaitu Ayat Allah Al Uzhma? 

Firman Allah Taala:

﴿إِنْ هِيَ إِلَّا أَسْمَاءٌ سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَمَا تَهْوَى الْأَنْفُسُ وَلَقَدْ جَاءَهُمْ مِنْ رَبِّهِمُ الْهُدَى * أَمْ لِلْإِنْسَانِ مَا تَمَنَّى … وَمَا لَهُمْ بِهِ مِنْ عِلْمٍ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنَّ الظَّنَّ لا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئاً * فَأَعْرِضْ عَنْ مَنْ تَوَلَّى عَنْ ذِكْرِنَا وَلَمْ يُرِدْ إِلَّا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا * ذَلِكَ مَبْلَغُهُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اهْتَدَى﴾

Yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu menamakannya. Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Mereka yang berbuat demikian, tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsunya. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka. Adakah manusia tetap akan dapat mencapai segala yang dicita-citakannya? (Tidak!). Kerana Allah jualah yang menguasai segala urusan akhirat dan urusan dunia. Padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya. Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat sahajalah, yang tergamak menamakan malaikat itu dengan nama perempuan, Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling dari pengajaran Kami dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata. (Kepentingan dunia) itulah sahaja tujuan terakhir dari pengetahuan yang dicapai oleh mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayat petunjuk. (Al Najmu: 23-30) 

Adalah wajib bagi sekelian manusia terutama golongan ulama untuk tidak melampaui batas-batas mereka, dan harus beringat serta kembali kepada kebenaran, dengan mengamalkan sikap tawadhuk yang menumbuhkan hikmah dan bukannya dengan perasaan takabbur.

والحمد لله رب العالمين

✡✡✡✡✡
                          

Tiada ulasan:

Catat Ulasan